Zahid akan disiasat lagi oleh SPRM esok


Noel Achariam Christopher Rabin Ravin Palanisamy

Zahid Hamidi sempat melambai tangan ketika meninggalkan kompleks SPRM selepas sembilan jam memberi keterangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Oktober, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi akan disoal siasat sekali lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok, selepas sembilan jam memberi keterangan pada agensi itu hari ini.

Presiden Umno itu meninggalkan ibu pejabat SPRM pukul 6.15 petang dan sempat mengucapkan terima kasih kepada media kerana sabar menunggu beliau.

“Saya mahu berterima kasih kepada media yang sanggup menunggu saya sejak awal pagi,” katanya.

Ditanya sama ada satu lagi sesi soal siasat akan berlangsung esok, Zahid pada mulanya menganggukkan kepala dan kemudian mengesahkan perkara tersebut.

“Saya akan datang lagi,” katanya kepada media yang sejak awal pagi berkampung di kompleks SPRM.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau akan datang ke SPRM mengikut ketetapan waktunya sendiri.

“Waktu (untuk datang ke SPRM) berdasarkan permintaan saya,” katanya.

Pada Julai, Zahid disoal siasat sebanyak dua kali oleh SPRM berhubung sebuah yayasan kebajikan yang ditubuhkan olehnya iaitu Akal Budi Foundation.

Siasatan itu dikaitkan dengan dakwaan penyalahgunaan dana berjumlah RM800,000 oleh yayasan tersebut yang digunakan untuk membayar hutang kad kredit Zahid dan isterinya.

Zahid berkata perkara itu berlaku akibat kesilapan.  – 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen