12 maut, 69,000 terjejas akibat angin kencang, hujan lebat di Sri Lanka


Angin kencang dan hujan lebat melanda Sri Lanka sejak hujung minggu lepas hingga menyebabkan 12 terbunuh. – Gambar Facebook, 11 Oktober, 2018.

DUA belas terbunuh manakala lebih 69,000 lagi terjejas selepas angin kencang dan hujan lebat melanda Sri Lanka sejak hujung minggu lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Pusat Pengurusan Bencana negara itu (DMC) pada Khamis.

Jurucakap DMC Pradeep Kodippili berkata meskipun hujan sudah reda, orang ramai yang telah dipindahkan ke tempat perlindungan yang selamat digesa agar tidak kembali ke rumah masing-masing susulan terdapat ancaman tanah runtuh.

Beliau berkata mereka yang tinggal di kawasan rendah turut dinasihati agar berhati-hati kerana paras air sungai yang tinggi dan boleh melimpah jika hujan masih berterusan.

Kodippili berkata satu amaran peringkat merah bagi insiden tanah runtuh dikekalkan di Daerah Kalutara di bahagian selatan dan penduduk di kawasan berdepan risiko telah dipindahkan ke pusat perlindungan yang selamat.

Satu talian kecemasan diwujudkan oleh DMC untuk mereka yang memerlukan bantuan atau terkandas susulan bencana banjir.

Beratus-ratus pegawai angkatan bersenjata dan polis telah dikerah ke kawasan banjir dan meneruskan operasi menyelamat serta mengagihkan bantuan kecemasan dan rangsum kering kepada mereka yang terjejas.

Presiden Maithripala Sirisena mengarahkan bekalan rangsum kering, air minuman dan fasiliti kesihatan diagih secara berterusan kepada mereka yang berada di pusat perlindungan serta mangsa yang terjejas akibat banjir.

Jabatan Meteorologi dalam kemas kini cuaca terbaharunya menyebut Ribut Siklon “TITLI” yang membadai Teluk Bengal dan membawa hujan lebat, kini berada kira-kira 1,200km dari Trincomalee di bahagian timur, berpotensi ,menjadi bertambah kuat serta bergerak ke arah barat laut pada Khamis.

Bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa hujan lebat berjumlah kira-kira 75 milimeter dijangka melanda beberapa daerah di Sri Lanka. – Bernama, 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen