PENUMPANG bersiap sedia menaiki penerbangan paling lama hari ini – maraton selama 19 jam di udara bagi perjalanan Singapura ke New York.
Dua juruterbang, dan menu khas dan berpuluh-puluh filem dan hiburan televisyen bakal menemani penumpang bagi perjalanan sejauh 16,700km ke kota Big Apple.
Singapore Airlines penerbangan SQ22 akan menggunakan pesawat Airbus A350-900ULR, untuk membawa 161 penumpang – 67 di kelas perniagaan dan 94 lagi di ekonomi premium.
Bagi anak kapal – yang terdiri daripada dua pegawai pertama dan 13 kontinjen – beban kerja akan diagihkan, kata syarikat penerbangan itu, dengan setiap seorang mendapat waktu rehat mandatori minimum empat jam.
Tetapi untuk penumpang, cabarannya ialah apa yang hendak dilakukan sepanjang waktu itu di udara.
Bagi mereka yang tidak membaca, terdapat 1,200 jam hiburan audio visual untuk dipilih.
Pilihan makanan termasuk hidangan organik.
Siling kabinnya lebih tinggi daripada biasa, tingkap lebih besar dan pencahayaan direka khas untuk mengurangkan jet lag – semuanya sebahagian daripada usaha mengurangkan tekanan yang boleh berlaku apabila hampir sehari suntuk berada di dalam pesawat.
Singapore Airlines selama sembilan tahun menggunakan pesawat A340-500 empat enjin sebelum menghentikannya pada 2013 kerana harga minyak yang tinggi menyebabkan perkhidmatan itu tidak menguntungkan.
Penerbangan hari ini mengatasi penerbangan antara bandar paling lama sebelum ini iaitu Qatar Airways penerbangan 921 dari Auckland ke Doha selama 17 jam dan 40 minit. – AFP, 11 Oktober, 2018.
Komen