Trump tuntut penjelasan Arab Saudi berhubung kehilangan wartawan 


Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap Arab Saudi selepas kehilangan wartawan yang juga warga AS Jamal Khashoggi. – Gambar EPA, 11 Oktober, 2018

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump menuntut Arab Saudi untuk memberi jawapan berhubung kehilangan wartawan yang juga warga AS Jamal Khashoggi, yang disyaki oleh pegawai Turki dibunuh selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Pentadbiran Trump meningkatkan tekanan, sekaligus memberi tindak balas keras selepas wartawan Washington Post itu hilang pada 2 Oktober lalu.

Trump berkata, beliau sudah bercakap “lebih daripada sekali” dan “di peringkat tertinggi” kepada rakannya di Arab Saudi, yang merupakan salah satu sekutu kuat AS dan merupakan pasaran utama industri persenjataan AS.

“Kami menuntut segala-galanya,” kata Trump kepada wartawan.

“Kami tidak boleh biarkan ini berlaku, kepada wartawan, kepada sesiapa sahaja.”

“Kami amat kecewa melihat apa yang berlaku. Kami tidak sukakannya dan akan menyiasat perkara ini,” tambahnya.

22 orang senator menusi surat kepada Trump memohon Akta Akauntabiliti Hak Asasi Manusia Global Magnitsky, yang memerlukan presiden membuka kertas siasatan dan menentukan sama ada sekatan boleh dibuat.

Akta itu boleh digunakan dalam kes disyaki “pembunuhan tidak adil, penyeksaan, atau pelanggaran hak asasi manusia antarabangsa yang diiktiraf terhadap individu yang mengamalkan kebebasan bersuara,” kata senator berkenaan.

Jurucakap Trump, Sarah Sanders berkata, Penasihat Keselamatan Neggara John Bolton, Setiausaha Negara Mike Pompeo dan pembantu yang juga menantu Trump Jared Kushner sudah berbincang dengan Putera Mahkota Mohammed Salman sejak dua hari lalu.

Pegawai AS bagaimanapun tidak mengesahkan dakwaan Turki yang Khashoggi, yang merupakan warga AS dan salah seorang yang lantang mengkritik rejim Raja Salman dan anaknya Putera Mohammed, diumpan ke konsulat Istanbul dan dibunuh oleh sekumpulan 15 orang perisik kerajaan Riyadh ke Istanbul.

Kes berkenaan mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi manusia dan wartawan. – AFP, 11 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen