SEKURANG-kurangnya tiga orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.0 magnitud yang melanda perairan Jawa dan Bali, Indonesia pada Khamis, menurut pegawai kerajaan.
Mangsa di Timur Jawa di daerah Sumenep terbunuh selepas ditimpa runtuhan bangunan, kata jurucakap agensi bencana negara Sutopo Purwo Nugroho.
“Gema itu berlaku pada awal Khamis ketika penduduk sedang tidur dan gempa melanda secara tiba-tiba menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya dan menambah kerosakan yang disebabkan gegaran itu bagaimanapun tidak meluas.
Gegaran kuat turut dirasai di Denpasar di kepulauan Bali yang terkenal sebagai destinasi pelancongan, menyebabkan orang ramai yang panik bertempiaran lari.
“Ianya sangat kuat dan berlaku dalam masa yang lama,” kata seorang wanita hanya mahu dikenali sebagai Davy yanng berlindung di kawasan parkir di sebuah hotel di Bali, beberapa kiometer daripada lokasi di mana IMF dan Bank Dunia mengadakan mesyuarat tahunannya minggu ini.
Beberapa tetamu hotel di Nusa Dua, selatan lapangan terbang utama Bali, turut melarikan diri keluar daripada bangunan berkenaan selepas gegaran kuat berlaku.
“Gempa itu sangat kuat. Saya segera mengejutkan dan membawa anak-anak keluar,” kata Ni Komang Sudiani kepada AFP.
“Kesemua jiran saya turut melarikan diri,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
Gempa berusat di Laut Bali kira-kira 40 kilometer di perairan timur pulau Jawa, menurut Pemerhati Geologi Amerika Syarikat.
Gegaran turut dirasai di Surabaya dan ibu negeri wilayah Jawa, kira-kira 200 kilometer dari Situbondo, yang merupakan bandar terdekat dengan pusat gempa.
“Ia dirasai kira-kira 10 saat. Orang yang sedang tidur turut dikejutkan dengan gegaran itu,” kata Tonny Akbar Mahendro kepada AFP.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa itu.
“Gempa itu tidak mencetuskan sebarang tsunami,” kata ketua agensi geofizik Indonesia, Dwikorita Karnawati kepada AFP. – AFP, 11 Oktober, 2018
Komen