PIHAK berkuasa China melancarkan kempen melawan produk halal atas nama memerangi ekstremisme di ibu negara Xinjiang, sebuah wilayah barat laut terpecah di mana umat Islam menghadapi sekatan mengamalkan agama.
Beberapa tahun kebelakangan ini, Beijing melancarkan serangan keselamatan di Xinjiang terhadap apa yang dipanggil unsur-unsur pemisahan wilayah.
Laporan PBB menyatakan anggaran sehingga satu juta etnis Uighur dan minoriti Islam yang lain dimasukkan ke dalam kem-kem pendidikan semula.
Halal - dalam Bahasa Arab bermaksud “dibenarkan” - merujuk kepada satu set peraturan yang membimbing umat Islam mengenai apa yang dibenarkan mengikut agama. Ia sering digunakan untuk makanan dan minuman tetapi juga termasuk produk kebersihan peribadi lain seperti ubat gigi dan kosmetik.
Para pemimpin Parti Komunis di Urumqi, ibukota wilayah itu, pada hari Isnin memimpin kader dalam mengangkat sumpah untuk melawan “trend pan-halal sehingga ia berakhir”.
Dalam artikel yang disiarkan media sosial rasmi pejabat parti itu di aplikasi WeChat , kader-kader parti diberitahu untuk mengangkat sumpah yang sama di akaun media sosial mereka, termasuk menolak agama.
“Kepercayaan saya adalah Marxisme-Leninisme ... Saya mesti kibarkan benderanya tinggi-tinggi dan melawan ‘trend pan-halal’ hingga akhir, saya akan tegas dalam keyakinan saya, walaupun saya harus mati!” demikian ikrar yang beredar di media sosial.
Pegawai kerajaan juga tidak harus mempunyai sekatan diet, kata kenyataan itu, sambil menambah kantin pekerja akan diubah supaya pegawai dapat mencuba “masakan pelbagai bangsa”.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, pendakwa raya Urumqi, dari etnik Uighur, Ilshat Osman juga menulis satu esei bertajuk: “Kawan, anda tidak perlu mencari restoran halal khusus untuk saya”.
Tabloid Global Times yang dikendalikan oleh kerajaan pada hari Rabu mengutip “pakar” sebagai mengatakan bahawa kecenderungan “pan-halal” telah membina tembok antara agama dan kehidupan sekular, menjadikannya mudah untuk “terjerumus ke dalam ekstremisme agama”.
China melancarkan kempen “Strike Hard” yang mensasarkan separatisme di Xinjiang pada 2014 berikutan keganasan yang mengorbankan nyawa di wilayah itu.
Uighur dan minoriti Islam lain tertakluk kepada peraturan yang ketat antara lain pengharaman janggut dan burqa, di samping ramai penduduk ditahan di kem pendidikan semula di atas kesalahan kecil seperti membuat hubungan dengan ahli keluarga di luar negara atau berkongsi ucapan Islam di media sosial.
Komen