SEBUAH kubur besar mengandungi 75 mayat telah ditemui di barat bandar pesisir Sirte, Libya pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber pasukan keselamatan.
Menurut sumber, seorang penduduk telah memaklumkan perkara itu kepada pasukan keselamatan dan kubur tersebut ditemui di kawasan pertanian yang terletak kira-kira 15 kilometer di barat Sirte, 450 kilometer di timur ibu negara Tripoli.
“Pasukan keselamatan telah mengeluarkan kesemua 75 mayat yang tidak dikenali itu. Proses mengeluarkan mayat disaksikan oleh seorang wakil mahkamah,” kata sumber itu sambil menambah sampel DNA telah diambil untuk analisis.
Jika perkara itu disahkan, ia akan menjadi penemuan kubur massa terbesar Sirte sejak bandar itu diambil alih oleh pasukan keselamatan kerajaan pada 2015.
Sirte telah menyaksikan pertempuran selama berbulan-bulan antara pasukan bersekutu dengan kerajaan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan militan Daesh, yang berakhir pada Disember 2015. – Bernama, 10 Oktober, 2018.
Komen