SEBUAH mahkamah di Bandaraya Guatemala pada Selasa telah menjatuhi hukuman penjara 15 tahun ke atas bekas naib presiden Roxana Baldetti bagi kesalahan rasuah selepas perbicaraan kes itu berlangsung selama empat bulan.
Pihak pendakwaan berkata antara tahun 2014 dan 2015, sekumpulan pegawai dan eksekutif perniagaan yang diarahkan oleh Baldetti telah menyeleweng kira-kira AS$2.5 juta daripada tabung awam negara miskin di Amerika Tengah itu.
Wang itu adalah sebahagian daripada dana negara berjumlah AS$18 juta bagi rawatan anti pencemaran di Tasik Amatitlan, 20 kilometer di selatan ibu negara.
Dalam penghakimannya, Hakim Pablo Xitumul berkata Baldetti “telah mengambil bahagian dan mengarahkan” rangkaian jenayah itu untuk “menipu kerajaan Guatemala.”
Sembilan lagi, yang terdiri daripada bekas pegawai dan eksekutif perniagaan, telah dihukum penjara antara tiga tahun dan 15 tahun kerana mengambil bahagian dalam melakukan penipuan itu.
Baldetti, wanita pertama yang menjadi naib presiden Guatamala dan merupakan timbalan kepada Presiden Otto Perez dari 2012 hingga 2015, turut berdepan tiga lagi pertuduhan rasuah.
Perez dan Baldetti telah ditahan sejak 2015 selepas dipaksa berundur daripada jawatan masing-masing susulan skandal rasuah itu.
Mereka didakwa memainkan peranan dalam satu rangkaian rasuah dikenali sebagai “La Linea” yang menyaksikan kedua-duanya menerima suapan daripada ahli perniagaan sebagai pertukaran untuk menurunkan cukai import.
Selepas Perez dipaksa berundur, Jimmy Morales yang juga seorang pelawak televisyen tanpa pengalaman politik, telah dipilih sebagai presiden setelah bertanding bagi merebut jawatan itu atas tiket kempen antirasuah.
Morales kini disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan pembiayaan kempen secara haram.
Bagaimanapun, beliau dilindungi oleh kekebalan presiden selepas parlimen Guatemala pada September mengundi untuk memihak kepadanya.
Pengecualian kekebalan itu telah dipohon pada Ogos oleh pejabat pendakwa raya dan suruhanjaya antikekebalan disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditubuhkan untuk menyiasat rasuah negara. – Bernama, 10 Oktober, 2018.
Komen