TELEVISYEN Turki hari ini mengeluarkan rakaman CCTV yang menunjukkan wartawan Saudi Jamal Khashoggi memasuki konsulat negaranya di Istanbul dan pergerakan sepasukan suspek yang disyaki terlibat dalam kehilangannya.
Khashoggi, seorang penyumbang Washington Post, hilang pada 2 Oktober selepas memasuki bangunan konsulat tersebut untuk mendapatkan dokumen menjelang perkahwinannya dengan tunangnya yang berwargenara Turki.
Sumber Turki mengatakan pada polis mempercayai Khashoggi dibunuh pada hujung minggu lalu oleh satu pasukan yang dihantar khas ke Istanbul. Pasukan itu terdiri daripada 15 rakyat Saudi.
Namun, Riyadh menegaskan bahawa wartawan berusia 59 tahun itu telah meninggalkan bangunan tersebut dan menyifatkan tuduhan pembunuhan itu “tidak berasas”.
Khashoggi, bekas penasihat kerajaan Saudi, telah menetap di Amerika Syarikat sejak tahun lepas ekoran bimbang kemungkinan beliau akan ditangkap.
Beliaun sebelum ini dilaporkan mengkritik beberapa dasar Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman dan campur tangan Riyadh dalam perang di Yaman.
Polis Turki sedang mencari dua pesawat persendirian yang mendarat di lapangan terbang Ataturk di Istanbul pada 2 Oktober yang membawa individu yang disyaki dalam kes itu.
Pegawai telah memeriksa 150 kamera bagi mencari maklumat mengenai kehilangan Kashoggi.
Kementerian Luar Turki pada Selasa berkata pihak berkuasa Saudi memberi mereka lampu hijau untuk menggeledah konsulat namun belum dijalankan.– AFP, 10 Oktober, 2018.
Komen