19 dihukum mati serangan tahun 2004 di Bangladesh


Perdana Menteri Bangladesh Syeikh Hasina turut cedera dalam serangan bom pada tahun 2004, beliau ketika itu berada di barisan pembangkang.– Gambar AFP, 10 Oktober, 2018

MAHKAMAH Bangladesh pada hari Rabu menjatuhkan hukuman mati ke atas 19 orang berikutan serangan bom tangan pada tahun 2004 terhadap perdana menteri.

Serangan di Dhaka dilakukan ketika perhimpunan tunjuk perasaan oleh Sheikh Hasina yang ketika itu masih berada dalam barisan pembangkang, serangan tersebut menyebabkan beliau cedera dan membunuh 20 orang yang lain.

Tarique Rahman, anak bekas perdana menteri Khaleda Zia, adalah antara 49 orang yang sedang dibicarakan.

Rahman dituduh merancang konspirasi jenayah dan beberapa pertuduhan membunuh.

Rahman, 50, dibicarakan tanpa kehadirannya di mahkamah selepas melarikan diri ke London pada tahun 2008.

Beliau kini mengetuai pembangkang utama Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP) selepas Zia dipenjara pada Februari selama lima tahun kerana kesalahan rasuah.

“Kami berterima kasih kepada Tuhan atas keputusan itu,” kata pendakwa Mosharraf Hossain kepada pemberita dengan pengawasan keselamatan yang ketat.

“Kami berharap Tarique Rahman akan mendapat hukuman mati,” katanya, sambil menambah bahawa mahkamah menganggap Rahman memainkan peranan utama dalam serangan itu.

Hossain berkata dua bekas menteri termasuk seorang menteri dalam negeri dan dua bekas ketua agensi perisikan adalah tertuduh lain yang dijatuhkan hukuman mati.

Seramai 15 ekstremis Islam dari kumpulan haram Harkat-ul Jihad al Islami  (HuJI) yang pemimpinnya dihukum mati April tahun lalu, turut dijatuhkan hukuman yang sama.– AFP, 10 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen