Suspek bunuh, rogol wartawan Bulgaria ditahan di Jerman


Viktoria Marinova adalah wartawan ketiga yang dibunuh di Eropah sejak 12 bulan lalu, selepas Jan Kuciak di Slovakia pada Februari dan Dapnhe Caruana Galizia di Malta pada Oktober 2017. – Gambar AFP, 10 Oktober, 2018.

POLIS Jerman menahan seorang lelaki yang ada kaitan dengan rogol dan bunuh kejam seorang wartawan televisyen Bulgaria, Viktoria Marinova, kata pegawai Bulgaria hari ini.

Tetapi, mereka berkata pembunuhan itu tidak ada kaitan dengan kerjanya sebagai wartawan.

Suspek itu ditangkap semalam atas permintaan pihak berkuasa Bulgaria, kata Menteri Dalam Negeri Mladen Marinov pada satu sidang media.

“Kami ada bukti cukup mengaitkan individu ini dengan kawasan kejadian,” katanya.

Ketua Pendakwa Raya Bulgaria Sotir Tsatsarove menamakan suspek sebagai Severin Kasimirov, lahir pada 1997, berkata lelaki itu sudahpun dihendaki dalam satu lagi kes rogol dan bunuh.

“Pada tahap ini, kami tidak merasakan pembunuhan itu ada kaitan kepada kerja Marinova. Tetapi kami akan terus menilai semua andaian.

“Bukti yang kami ada pada tahap ini membuatkan kami percaya ia adalah serangan spontan untuk menyerang seksual mangsa.”

Mayat Marinova yang berusia 30 tahun- yang mengacarakan program bual bicara isu semasa “Detector” untuk saluran televisyen kecil TVN- ditemui di tebing sungai di utara bandar Ruse, Ahad lalu.

Pihak berkuasa berkata punca kematian adalah kerana pukulan kepala dan lemas. Beliau juga dirogol.

Serangan itu mengejutkan seluruh negara dan menarik perhatian antarabangsa kerana wujud spekulasi pembunuhan itu ada kaitan dengan kerja Marinova sebagai wartawan.

Salah sebuah episod programnya pada 30 September menampilkan temu bual dengan dua wartawan penyiasat dari Bulgaria dan Romania yang sedang menyiasat dakwaan korupsi.

Beliau adalah wartawan ketiga yang dibunuh di Eropah sejak 12 bulan lalu, selepas Jan Kuciak di Slovakia pada Februari dan Dapnhe Caruana Galizia di Malta pada Oktober 2017. – AFP, 10 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen