Anak lelaki Khaleda Zia berdepan hukuman mati


Polis mengiringi Tarique Rahman (tengah), anak lelaki bekas perdana menteri Khaleda Zia ke mahkamah di Dhaka pada 2007. – Gambar AFP, 10 Oktober, 2018.

BANGLADESH mengetatkan tahap keselamatan pada Rabu apabila mahkamah dijangka menjatuhkan hukuman mati kepada seorang pemimpin pembangkang dan puluhan yang lain berhubung serangan bom pada 2004 terhadap perdana menteri ketika ini.

Tarique Rahman, anak lelaki bekas perdana menteri Khaleda Zia dan pemimpin pembangkang utama, adalah antara 49 orang yang dibicarakan berhubung serangan bom pada 2004 yang mencederakan Sheikh Hasina dan membunuh 20 orang yang lain.

Pendakwa menuduh Rahman dengan konspirasi jenayah dan pelbagai tuduhan pembunuhan atas serangan itu, yang berlaku ketika Zia - yang merupakan bekas sekutu berpaling tadah daripada Hasina - ketika itu menjadi perdana menteri.

Rahman yang hidup dalam buangan di Lonon kini mengetuai pembangkang utama Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP) selepas Zia dipenjara pada Februari selama lima tahun.

Hasina sedang mengadakan perhimpunan di ibukota Bangladesh, Dhaka, pada 21 Ogos 2004, ketika bom meletup.

Beliau mengalami kecederaan teruk pada telinga dan antara yang maut ialah isteri bekas presiden.

Empat tahun kemudian, Hasina kembali berkuasa selepas memimpin gabungan sekular  dalam kemenangan pilihan raya pada Disember 2008.

Ketua pendakwa raya Syed Rezaur Rahman berkata pihak pendakwa memohon hukuman mati bagi Rahman, mengatakan pejabatnya digunakan untuk “konspirasi membunuh Hasina”.

“Kami dapat membuktikan dakwaan terhadapnya melampaui keraguan,” katanya, sambil menambah Rahman boleh dihukum mati jika didapati bersalah.

Dua menteri lain, bekas ketua agensi risikan dan polis serta pembantu utama Zia juga menghadapi hukuman mati dalam kes itu.

Tiga ekstremis Islam juga dituduh berhubung serangan itu, tetapi kemudiannya dihukum bagi kes berasingan.

Hukuman maut suatu perkara biasa di Bangladesh dengan ratusan orang menanti hukuman dijalankan. Semua hukuman mati adalah dengan cara menggantung, warisan era kolonial British.

Sejak 2007, sekurang-kurangnya sembilan pemimpin ekstremis Islam, lima pemimpin parti Islam terbesar dan seorang pemimpin pembangkang kanan digantung di penjara Bangladesh.

Peguam Rahman, Sanaullah Mia berkata tuduhan terhadap anak guamnya bermotifkan politik.

Beliau mempersoalkan masa keputusan itu, dengan mengatakan ia bertujuan untuk memastikan Rahman tidak terlibat dalam pilihan raya yang dijangka diadakan pada Disember.

“Tiada bukti atau kesaksian terhadapnya. Tiada saksi yang boleh mengatakan konspirasi diatur di Hawa Bhaban,” katanya kepada AFP, merujuk kepada bekas pejabat BNP yang digunakan oleh Rahman.

Jurucakap polis Sohel Rana berkata mereka mengetatkan keselamatan di mahkamah dan seluruh negara Asia Selatan itu bagi mengelakkan keganasan berikutan keputusan itu.

“Polis bersedia sepenuhnya untuk mengelakkan keganasan susulan keputusan mahkamah,” katanya. – AFP, 10 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen