Tunang wartawan Arab Saudi yang hilang minta bantuan Turmp


Hatice Cengiz berharap misteri kehilangan tunangnya, Jamal Khashoggi dapat diselesaikan. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2018.

TUNANG kepada wartawan Arab Saudi yang hilang, Jamal Khashoggi pada Selasa meminta bantuan Presiden Donald Trump untuk merungkai kejadian sebenar kepada pengkritik Riyadh yang katanya “berjuang demi prinsipnya”.

Hatice Cengiz membuat rayuan itu dalam satu ruangan pendapat akhbar The Washington Post, di mana Khashoggi merupakan kolumnis dan pengkritik lantang terhadap beberapa dasar Riyadh.

Wartawan veteran, Khashoggi hilang pada 2 Oktober selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul bagi urusan dokumen perkahwinannya dengan Cengiz, seorang warga Turki.

Sumber kerajaan di Turki berkata polis percaya lelaki berusia 59 tahun itu dibunuh di dalam konsulat, dakwaan dinafikan Riyadh sebagai “tidak berasas”.

Cengiz menulis beliau “yakin dengan kemampuan pegawai kerajaan Turki.”

“Pada masa ini, saya memohon kepada Presiden Trump dan wanita pertama Melania Trump untuk membantu terhadap kehilangan Jamal,” katanya.

“Saya juga mendesak Arab Saudi, terutama Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, untuk menunjukkan tahap sensitiviti yang sama dan memberikan rakaman CCTV dari konsulat,” tulis Cengiz.

Trump pada Isnin melahirkan kebimbangan mengenai kes Khashoggi dan Setiausaha Negara Mike Pompeo meminta siasatan menyeluruh.

Polis Turki juga melihat kemungkinan Khashoggi diculik, lapor media tempatan.

Riyadh berkata Khashoggi meninggalkan konsulat itu selepas lawatannya.

Walaupun Khashoggi mengetahui pandangannya menimbulkan rasa marah kepada orang tertentu, beliau memasuki konsulat “tanpa meragui keselamatannya di sana,” tulis tunangnya, tetapi selepas tiga jam menunggu “ketakutan dan kebimbangan” menguasainya.

Khashoggi melarikan diri dari tanah airnya pada September tahun lalu dan hidup dalam buangan di Amerika Syarikat dan memohon kewarganegaraannya, kata Cengiz.

Merupakan bekas penasihat kerajaan Arab Saudi, Khashoggi lantang mengkritik Putera Mohammed.

Cengiz menulis beliau yakin “lelaki hebat itu” masih hidup, “walaupun harapan saya perlahan-lahan pudar dengan setiap hari yang berlalu.” – AFP, 10 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen