BAYANGKAN anda balik dari luar negara dan tengok-tengok bil telefon mencecah hampir RM650,000.
Itulah yang berlaku pada seorang rakyat Australia, Kim Beveridge pada 2014. Dia terperanjat dan tidak faham bagaimana bil telefon bimbitnya itu boleh melambung tinggi hingga mencecah AU$191,000.
Dia diminta syarikat telekomunikasi berkenaan membayar bil itu. Dia enggan, dan selama tiga tahun berjuang di mahkamah mempertahankan haknya.
Mahkamah Agung Victoria minggu lalu memutuskan Beveridge tidak perlu membayar jumlah yang dituntut dan tidak juga bertanggungjawab atas bil berkenaan termasuk GST yang dikenakan sehingga lebih AU$17,000 (RM60,000), lapor ABC News.
Bil yang luar biasa itu direkodkan semasa eksekutif kanan di sebuah syarikat perisian itu ke luar negara.
Dalam keputusannya, mahkamah berpendapat Beveridge sudah melakukan apa yang wajar sebelum memulakan perjalanannya dari Melbourne ke Barcelona.
Sebelum ke luar negara, Beveridge menghubungi syarikat telekomunikasi TeleChoice dan bertanya tentang tentang perkhidmatan perayauan antarabangsa. Dia membayar sejumlah wang untuk perkhidmatan itu, yang ditawarkan dengan kadar maksimum harian.
Tetapi semasa di Barcelona, telefonnya kena curi dalam satu kejadian ragut lebih kurang pukul 5.30 pagi, sewaktu dia pulang daripada bersuka ria dengan kawan-kawannya.
Menurut laporan media, Beveridge menghubungi TeleChoice lebih kurang 20 jam kemudian untuk melaporkan kecurian itu.
“Mereka memaklumkan ada mengesan panggilan telefon dan aktiviti luar biasa melalui telefon saya dan akaun itu kemudiannya disekat,” kata Beveridge seperti dipetik oleh ABC News.
Bil telefonnya kemudian menunjukkan dalam tempoh 20 jam itu terdapat 4,484 panggilan telefon yang dibuat daripada nombor tersebut dengan rekod perbualan selama 1,161 jam ditambah beberapa ribu lagi kiriman pesanan ringkas.
Biarpun tidak masuk akal, Beveridge membuat tawaran membayar AU$8,000 (RM27,000) kepada TeleChoice, namun syarikat telekomunikasi itu menolak.
Ia kemudian menyaman Beveridge menuntut penyelesaian bayaran penuh AU$191,466.59.
Apa yang berlaku sebenarnya ialah kad SIM telefon itu digunakan sindiket penipuan dalam talian untuk mengaktifkan pengalihan talian ke satu nombor lain di Latvia, katanya.
Menurut ABC News, Telechoice pada mulanya membuat tuntutan penuh di mahkamah rendah tetapi kemudian mengurangkan tuntutannya kepada hanya AU$34,000 (RM115,000).
Tahun lalu, mahkamah itu menolak tuntutan syarikat telekomunikasi itu dan mengarahkan ia membayar kos kepada Beveridge.
Tidak puas hati, ia mengajukan rayuan ke Mahkamah Agung Victoria. Proses rayuan terheret selama setahun dan pada minggu lalu, ia mengekalkan keputusan yang memihak kepada Beveridge.
“Ini satu perjuangan yang panjang,” katanya.
Dia mengaku agak tertekan sepanjang mengharungi proses perbicaraan kes tersebut tetapi sekarang menarik nafas lega semuanya sudah selesai.
Beveridge juga mengaku belajar satu hal penting tentang penggunaan telefon: dia dan semua ahli keluarganya sekarang memakai perkhidmatan prabayar. – 10 Ogos, 2017.
Komen