PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump melahirkan keraguan terhadap laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran mengenai kesan buruk pemanasan global dan menggesa tindakan drastik diambil untuk mengatasinya.
Laporan penting yang dikeluarkan pada Isnin mengatakan masa semakin suntuk untuk mengelakkan bencana yang berpunca daripada iklim.
Panel Antara Kerajaan bagi Perubahan Iklim (IPCC) mengisytiharkan ia mempunyai “keyakinan tinggi” terhadap ramalannya.
Di White House, Trump berkata beliau belum membacanya lagi.
“Ia diberikan kepada saya dan saya ingin melihat siapa yang menulisnya, anda tahu - kumpulan mana yang menulis, kerana saya boleh memberikan laporan yang hebat dan saya boleh memberikan laporan yang tidak begitu baik,” katanya kepada pemberita .
“Tetapi saya akan membacanya, sudah pasti.”
Ia adalah reaksi pertama Trump mengenai laporan itu, yang mengatakan permukaan bumi bertambah panas kepada satu darjah Celcius (1.8 darjah Fahrenheit) dan dijangka naik 3 hingga 4 darjah Celsius iaitu pada suhu yang tidak sesuai untuk didiami.
Pentadbiran Trump memasuhkan dasar pengurangan pelepasan dalam negara, dan berikrar keluar daripada perjanjian Paris mengenai usaha pengurangan pelepasan gas rumah hijau di seluruh dunia.
Bagaimanapun, Washington tidak menghalang laporan itu, seperti yang dijangkakan oleh beberapa pihak.
Ramai di parti Republik Trump skeptikal terhadap perubahan iklim, mempersoalkan sama ada persefahaman para saintis di seluruh dunia mengenai perbuatan manusia menjadi faktor suhu semakin meningkat adalah tepat. – AFP, 10 Oktober, 2018.
Komen