Nikki Haley masih berdiam diri berhubung peletakan jawatan


Nikki Haley meletakkan jawatan secara mengejut pada Selasa sebagai duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.– Gambar EPA, 10 Oktober, 2018

NIKKI Haley meletakkan jawatan secara mengejut pada Selasa sebagai duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, menjadikan ia sebagai peletakan jawatan terbaharu dalam pasukan keselamatan negara Donald Trump.

Presiden AS Donald Trump berkata beliau menjalankan tugas dengan cemerlang dan akan kekal sehingga akhir tahun ini.

“Beliau maklumkan pada saya enam bulan lalu,” kata Trump kepada pemberita, bahawa “Saya mahu berehat”.

Penggantinya akan dinamakan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi, katanya.

Bagaimanapun, Haley masih berdiam diri berhubung peletakan jawatannya itu dan hanya menyatakan “amat penting untuk tahu bila masa kita perlu berundur”.

Media AS memetik pegawai pentadbiran AS berkata, peletakan jawatan Haley amat mengejutkan terutamanya kepada Setiausaha Negara Mike Pompeo.

Dalam satu kenyataan kepada wartawan di Rumah Putih, Pompeo menyifatkan Haley sebagai “rakan sejawat yang hebat”. Beliau kemudian enggan mengulas lanjut.

Media AS turut membuat spekulasi Haley bercita-cita untuk bertanding menentang Trump pada pilihan raya 2020, yang mana beliau mungkin diihat sebagai alternatif kepada Republikan yang lebih sederhana.

Namun beliau menafikan dakwaan itu. “Tidak saya tidak bertanding,” katanya. – AFP, 10 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen