PEMIMPIN pembangkang Bangladesh, Khaleda Zia dipindahkan ke hospital pada minggu lepas dari penjara yang dibina pada abad ke-19 di mana beliau merupakan satu-satunya tahanan di situ, kata doktornya.
Zia, 73, dipenjarakan pada Februari atas kesalahan rasuah dan dibicarakan di dalam sebuah bilik khas di Penjara Pusat Dhaka yang kini terbiar atas dakwaan rasuah yang disifatkan penyokongnya bermotifkan politik.
Sabtu lepas Zia dipindahkan ke hospital kerana masalah kesihatan yang semakin teruk selepas mendapat arahan dari Mahkamah Tinggi Bangladesh.
“Keadaan beliau semakin teruk sejak beberapa bulan kebelakangan,” kata Abdul Jalil Chowdhury, salahs eorang pakar perubatan di hospital Bangabandhu Sheikh Mujib Medical University (BSMMU) yang memeriksa Zia.
Tangan kiri Zia mengalami kecacatan sejak beberapa bulan lepas disebabkan arthritis rheumatoid yang dihidapinya.
“Beliau tidak boleh gunakan tangan kirinya.”
Selain mengalami kesakitan di leher dan belakang badan, Zia juga menghidap kencing manis.
Peguam perdana menteri dari 1991-1996 dan 2001-2006 itu berkata kerajaan menyebabkan risiko terhadap kesihatannya apabila enggan menyediakan rawatan perubatan untuknya di penjara.
Ketika Zia - yang memimpin Parti Nasionalis Bangladesh - dipenjarakan pada Februari kerana rasuah, hukuman terhadapnya telah mencetuskan pergaduhan antara polis dan penyokong beliau.
Zia didapati bersalah kerana menggelapkan wang untuk rumah anak yatim. – AFP, 9 Oktober, 2018.
Komen