Kanak-kanak mangsa tsunami terhibur dengan Winnie the Pooh


Sukarelawan memakai kostum kartun Winnie the Pooh untuk mengurangkan penderitaan yang terpaksa dilalui kanak-kanak mangsa tsunami dan gempa bumi di Palu. – Gambar AFP, 9 Oktober, 2018.

KESENGSARAAN kanak-kanak yang terselamat akibat gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi, Indonesia sedikit terubat apabila dihiburkan oleh sukarelawan yang memakai kostum watak kartun Winnie the Pooh.

Selain memakai kostum, sukarelawan menyanyi dan menyediakan permainan bagi menghiburkan kanak-kanak yang terjejas akibat bencana alam semula jadi itu.

Gempa bumi dan tsunami berlaku pada 28 September lalu menyebabkan 2,000 orang terkorban setakat ini, selain ribuan orang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.

Tragedi yang dianggap paling menyedihkan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 180,000 kanak-kanak masih trauma akibat bencana dahsyat itu.

Seorang sukarelawan, Erna membawakan hiburan untuk mengurangkan penderitaan yang terpaksa dilalui kanak-kanak.

Beliau dan kawan-kawannya bertindak nekad memandu kereta selama tiga jam menuju ke Palu dengan membawa kostum Winnie the Pooh dan prop lain demi tujuan murni itu.

“Saya sangat kasihan kepada kanak-kanak ini dan tidak mahu mereka mengalami trauma,” kata Erna.

Sementara itu, pekerja penyelamat di tempat kejadian berkata ramai kanak-kanak masih terkejut dan tertekan akibat bencana berkembar yang sangat dahsyat itu. – AFP, 9 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen