SEPASANG suami isteri yang ditahan di Mexico ketika memindahkan anggota badan manusia dalam bakul bayi, mengakui membunuh 20 orang, dua kali ganda daripada jumlah asal yang disyaki, kata ketua penyiasat kes itu.
Lelaki terbabit turut mengakui merogol sesetengah mangsa wanita dan menjual sebahagian anggota badan mereka, kata ketua pendakwa raya Mexico Alejandro Gomez.
Lelaki dan wanita itu ditahan di Ecatepec, kawasan pinggir bandar di tenggara Mexico City, pada Khamis kerana disyaki membunuh 10 wanita.
Suspek lelaki memberi butiran semua 10 pembunuhan itu dan memberitahu penyiasat bahawa dia dan isterinya membunuh 10 orang lain, kata Gomez.
Pendakwa raya kini sedang mengenal pasti sama ada dakwaan itu benar atau ia hanya “psikopat” dan “pembunuh bersiri” yang sedang berlagak.
Pasangan itu turut mengaku menjual bayi berusia 2 bulan milik salah seorang mangsa kepada orang lain, yang turut ditahan.
Suspek dikenali sebagai Juan Carlos “N” dan isterinya Patricia “N”.
Suspek lelaki mengalami gangguan mental konsisten dengan psikosis dan kecelaruan personaliti, sementara isterinya mengalami ketidakupayaan mental sejak lahir, kata Gomez.
Ketika pihak berkuasa membuat pemeriksaan di dua rumah mereka, beberapa bahagian mayat manusia ditemui dalam baldi yang disimen dan ada dibungkus dalam beg plastik disimpan di dalam peti ais. Ditemui juga pakaian dipercayai milik beberapa mangsa.
Suspek lelaki memberitahu penyiasat mereka mengumpan mangsa, kebanyakannya ibu muda dengan tawaran diskaun baju bayi.
“Mereka ibu tunggal dan perlukan seseorang yang boleh bantu beli baju bayi yang tidak mahal,” kata Gomez.
Katanya, penyiasat menjejaki pasangan itu menerusi panggilan telefon beberapa mangsa wanita yang hilang. – AFP, 9 Oktober, 2018.
Komen