Erdogan minta Riyadh buktikan wartawan tinggalkan konsulat


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menggesa pihak konsulat Arab Saudi menyertakan bukti berhubung dakwaan wartawan yang hilang sudah meninggalkan bangunan konsulatnya.– Gambar EPA, 9 Oktober, 2018

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan pada Isnin meminta pegawai Arab Saudi membuktikan dakwaan mereka wartawan yang hilang Jamal Khashoggi meninggalkan konsulat Arab Saudi di Istanbul. 

Kenyataan Erdogan itu dibuat selepas laporan media mengatakan kerajaannya meminta kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi untuk menggeledah bangunan konsuat negara itu di Istanbul. 

Khashoggi, yang merupakan pemberita The Washington Post, hilang sejak Selasa lalu selepas memasuki konsulat berkenaan untuk menerima dokumen rasmi perkahwinannya dengan seorang wanita Turki. 

“Pegawai konsulat tidak boleh selamatkan diri mereka dengan mengatakan beliau meninggalkan bangunan itu..Bukankah kamu mempunyai kamera?” kata Erdogan pada satu sidang media di Budapest. 

“Sekiranya beliau keluar, kamu perlu buktikan dengan rakaman. Mereka yang bertanya pihak berkuasa Turki di mana beliau berada perlu tanya apa yang berlaku.”

Polis berkata, pada hujung minggu lalu, kira-kira 15 warga Arab Saudi, termasuk pegawai kerajaan, tiba di Istanbul menaiki dua pesawat pada Selasa dan berada di konsulat pada masa yang sama dengan Khashoggi. 

Sumber kerajaan Turki memberitahu AFP pada hujung minggu lalu, polis percaya wartawan terbabit “dibunuh oleh kumpulan yang dihantar khas ke Istanbul dan meninggalkan negara itu pada hari yang sama”.

Riyadh bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan berkata Khashoggi telah meninggalkan konsulat.

Turki pada Isnin meminta kebenaran untuk menggeledah bangunan konsulat, lapor stesen penyiaran Turki NTV.

Langkah itu diambil selepas kementerian luar memanggil kedutaan Arab Saudi buat kali kedua pada Ahad berhubung kehilangan wartawan terbabit. 

Duta Turki mengesahkan pada Isnin delegasi Arab Saudi mengadakan pertemuan dengan menteri luar Sedat Onal. 

“Kedutaan dimaklumkan kami akan diberikan kerjasama penuh ketika siasatan,” menurut sumber. Kedutaan itu kali pertama dipanggil kementerian pada Rabu. 

Erdogan berkata, polis Turki dan perisik kini sedang menyiasat kes berkenaan. – AFP, 9 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen