PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan kebimbangannya pada Isnin berhubung nasib wartawan Arab Saudi terkenal yang juga pengkritik rejim Jamal Khashoggi yang hilang selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul minggu lalu.
“Saya bimbang. Saya tidak suka mendengar perkara ini. Diharap ia akan diselesaikan,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih.
“Sekarang ini, tiada siapa yang tahu apa-apa mengenainya. Terdapat berita buruk yang tersebar. Saya tidak suka.”
Khashoggi, yang merupakan warga AS, menulis artikel sejak beberapa tahun lalu mengkritik Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman. Menjelang perkahwinan yang dirancangnya dengan seorang wanita Turki, beliau memasuki konsulat pada Selasa dan tidak ditemui sejak daripada itu.
Pegawai Turki mendakwa wartawan terbabit dibunuh dalam konsulat berkenaan. Riyadh bagaimanapun menafikan perkata itu dan mendakwa Khashoggi meninggalkan konsulat itu sendirian.
Isu itu mengancam hubungan yang dijalinkan antara Putera Mohammed dengan pentadbiran Trump, yang mana sehingga kini masih membutakan mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia Arab Saudi dan kempen pengebomannya terhadap pemnberontak Huthi Yaman, yang membunuh ribuan orang awam.
Trump sebaliknya memfokuskan kepada kepentingan AS dan Arab Saudi untuk meningkatkan tekanan ke atas Iran.
Namun dua Senator kanan paarti Republikan Trump memberi amaran pada Isnin hubungan itu akan terjejas sekiranya berita mengenai Khashoggi itu benar.
Senator Republikan Lindsey Graham berkata, Riyadh perlu memberi “jawapan jujur” mengenai wartawan terbabit.
“Kami setuju sekiranya terdapat kebenaran dalam tuduhan salah laku oleh kerajaan Arab Saudi ia akan menjejaskan hubungan Aran Saudi-AS dan teerdapat bayaran besar perlu dibuat—dari segi ekonomi dan lain-lain,” kata Graham menerusi Twitter.
Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Bob Corker memberi amaran terhadap serangan kerajaan ke atas wartawan di luar negara mereka.
“Saya secara peribadi telah bangkitkan mengenai kehilangan Jamal kepada duta Saudi, dan sementara menunggu maklumat, kita akan bertindak sewajarnya terhadap negara yang menyasarkan wartawan di luar negara,” tulisnya.
The Washington Post, yang merupakan majikan kepada Khashoggi sejak beberapa tahun lalu, turut menekan pentadbiran untuk menyiasat.
“Jika En. Khashoggi dibunuh dalam konsulat, ia akan memberi kesan kepada rejim Saudi dan pemerintah umumnya, Putera Mahkota Mohammed Salman, yang memerlukan penilaian semula hubungan Arab Saudi-AS,” kata akhbar itu.
Khashoggi, 59, telah lama berkhidmat sebagai wartawan di Arab Saudi dan juga penasihat kepada pegawai tinggi kerajaan.
Namun sejak Putera Mohammed, 33, berkuasa tahun lalu, Khashoggi secara terbuka mengkritik institusi diraja itu. – AFP, 9 Oktober, 2018
Komen