Pope, Kardinal AS bertemu ketika gereja Katolik dilanda skandal seks


Pope Francis dituduh menutup tuduhan ke atas bekas Biskop Kanan Washington Theodore McCarrick.– Gambar AFP, 8 Oktober, 2018.

POPE Francis bertemu presiden persidangan biskop Amerika Syarikat pada hari Isnin ketika kritikan ke atasnya masih hangat berikutan penanganan tuduhan salah laku seksual oleh kardinal gereja katolik Amerika Syarikat.

Francis mengadakan perbincangan dengan Kardinal Daniel DiNardo dan ahli-ahli kanan sidang biskop selepas hanya 48 jam memberi arahan penyiasatan terhadap arkib Vatican mengenai bekas biskop kanan Washington, Theodore McCarrick, yang meletak jawatan pada bulan Julai.

DiNardo pada hari Ahad “mengalu-alukan” langkah-langkah tambahan yang diambil oleh Pope Francis demi memastikan penganut setia gereja dilindungi dari kejahatan serangan seksual “.

Kes McCarrick mencetuskan perdebatan pada bulan Ogos selepas biskop utama Carlo Maria Vigano, bekas wakil khas Vatican ke Washington, menuduh Pope mengabaikan tuduhan terhadap pemimpin Katolik yang terkenal itu mengenai salah laku terhadap remaja dan kanak-kanak sejak beberapa dekad lalu.

Francis dituduh membatalkan hukuman terhadap McCarrick yang dijatuhkan oleh Pope Benedict XVI sebelum ini- tuduhan-tuduhan itu ditolak pada hari Ahad oleh pengawas Vatican daripada Jamaah Biskop.

Kardinal Kanada, Marc Ouellett berkata, “serangan yang tidak adil” oleh Vigano adalah “usaha politik tanpa sebarang asas” yang bertujuan “untuk menuduh Pope”.

Ouellett berkata beliau telah memberitahu Vigano secara langsung bahawa McCarrick “sepatutnya mematuhi syarat-syarat tertentu dan beberapa sekatan akibat khabar angin mengenai perilakunya pada masa lalu”.

Selepas meletak jawatan sebagai ahli biskop Washington pada tahun 2006, McCarrick “telah dinasihatkan agar tidak melakukan lawatan dan tidak muncul di khalayak ramai, supaya tidak mencetuskan khabar angin tambahan.”

“Langkah-langkah yang diambil itu salah dalam pandangannya, beliau menganggap ‘sekatan’ yang ditetapkan oleh Pope Benedict XVI telah dibatalkan Pope Francis,” kata Ouellett dalam surat terbuka kepada Vigano.

McCarrick dilepaskan daripada sekatan kerana “pada masa itu, tidak seperti hari ini, tidak ada bukti yang mencukupi mengenai kesalahannya yang dituduh ke atasnya”.

Ouellett mengakui bahawa pada pendapatnya, “beberapa kecurigaan yang diberikan oleh saksi sepatutnya disiasat dengan lebih mendalam”, beliau turut menambah bahawa “anggota yang dimaksudkan itu tahu bagaimana mempertahankan dirinya dengan sangat mahir mengenai keraguan yang ditimbulkan ke atasnya”.

Bagaimanapun, Pope Francis enggan mengulas mengenai tuduhan Vigano tersebut. – AFP, 8 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen