2 ahli ekonomi AS terima Hadiah Nobel Ekonomi


William Nordhaus dan Paul Romer hari ini berkongsi Hadiah Nobel Ekonomi 2018 kerana mengintegrasikan inovasi pertumbuhan ekonomi. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2018.

AHLI ekonomi Amerika Syarikat (AS) William Nordhaus dan Paul Romer hari ini berkongsi Hadiah Nobel Ekonomi 2018 kerana mengintegrasikan inovasi pertumbuhan ekonomi, kata juri.

Nordhaus, seorang profesor di Universiti Yale, dan Romer, bekas pengarah ekonomi Bank Dunia yang kini mengajar di Stern School of Business di Universiti New York University, berjaya mengatasi “beberapa soalan paling asas dan mendesak mengenai bagaimana kita menwujudkan pertumbuhan jangka panjang yang mampan”, menurut kenyataan Royal Swedish Academy of Sciences.

Kenyataan itu juga menyebut kedua-dua ahli ekonomi itu “telah meluaskan skop analisis ekonomi dengan membina model yang menjelaskan bagaimana interaksi pasaran ekonomi dengan alam semulajadi dan pengetahuan”.

Nordhaus, 77, secara khususnya dianugerahkan kerana “mengintegrasi perubahan iklim kepada analisis makroekonomi jangka panjang”.

Manakala Romer, 62, diberi anugerah kerana “mengitegrasi inovasi teknologi ke dalam analisis makroekonomi jangka panjang”.

Kedua-duanya telah disenaraikan sebagai calon Hadiah Nobel dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Nordhaus dan Romer akan berkongsi hadiah sembilan juta kronor Sweden (RM4.3 juta). – AFP, 8 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen