Ahli Parlimen Sri Lanka puji LTTE ditahan


Dalam ucapannya pada Julai lepas, Ahli Parlimen Jaffna, Vijayakala Maheswaran berkata rakyat di sebelah utara Sri Lanka lebih selamat ketika diperintah LTTE. – Gambar Facebook, 8 Oktober, 2018.

SEORANG ahli Parlimen Sri Lanka yang sebelum ini berkata kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) menguatkuasakan undang-undang lebih baik berbanding pihak polis ditangkap hari ini.

Dalam ucapannya pada Julai lepas, Ahli Parlimen Tamil, Vijayakala Maheswaran berkata rakyat di sebelah utara Sri Lanka lebih selamat ketika diperintah LTTE.

Maheswaran, ahli Parlimen Jaffna, iaitu bandar minoriti Tamil, berkata wanita dan kanak-kanak di kawasan yang diperintah LTTE kurang menerima kekerasan sebelum gerila itu ditumpaskan pada 2009.

Kenyataan Maheswaran itu mencetuskan protes dari kumpulan Sinhalese yang menuduh beliau mahu membangkitkan organisasi yang telah diharamkan.

Maheswaran yang merupakan ahli Parlimen parti pemerintah Sri Lanka juga dipaksa meletak jawatan sebagai menteri yang menjaga hal ehwal kanak-kanak.

“Bahagian Jenayah Terancang menahan MP (ahli parlimen) dan akan dihadapkan di depan majistret,” menurut kenyataan polis.

Beliau dibebaskan dengan jaminan setengah juta rupee (RM12,100) dan akan dibicarakan pada 7 Disember.

LTTE ditumpaskan pada Mei 2009. – AFP, 8 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen