MISI Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Libya (UNSMIL) pada Ahad melahirkan sokongan terhadap pelantikan menteri-menteri Libya yang baharu, lapor agensi berita China Xinhua.
“UNSMIL mengucapkan selamat maju jaya dalam melaksanakan peranan baharu mereka kepada menteri-menteri Kerajaan Perpaduan (GNA) yang baharu dilantik. PBB bersedia membantu mereka ke arah melaksanakan susun atur keselamatan baharu di Tripoli, mempercepat pembaharuan ekonomi dan penyatuan institusi-institusi nasional Libya yang amat diperlukan,” menurut misi itu dalam akaun Twitternya.
Perdana Menteri Libya yang disokong PBB, Fayez Serraj, pada Ahad melantik tiga menteri baharu dan seorang ketua bagi Pihak Berkuasa Umum Belia dan Sukan.
Menurut pejabat maklumat Perdana Menteri, menteri terbabit ialah menteri dalam negeri, menteri ekonomi dan industri serta menteri kewangan.
Alasan untuk keputusan mendadak itu tidak jelas namun langkah itu mungkin bertujuan memperluas sokongan terhadap kerajaan.
Kerajaan Serraj dilantik berdasarkan perjanjian politik tajaan PBB yang dimeterai parti-parti politik Libya pada 2015, bagi menamatkan perpecahan politik di negara itu. – Bernama, 8 Oktober, 2018.
Komen