SURUHANJAYA Siasatan Bebas (ICOE) Myanmar mengenai isu Rakhine, menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil untuk mengumpul dan menganalisis maklumat serta bukti, untuk memulakan siasatan berhubung tuduhan pelanggaran hak asasi manusia.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan media dikeluarkan selepas Pengerusi ICOE Duta Rosario Manalo mengakhiri lawatannya ke Myanmar, lapor agensi berita Xinhua.
Semasa di Myanmar, Manalo mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Myanmar, U Myint Swe dan mengadakan perbincangan mengenai beberapa isu antaranya perlunya pakar luar dalam bidang penyiasatan maklumat dan komunikasi, undang-undang, forensik serta jenayah.
Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada Disember manakala laman web ICOE dilancarkan 12 Oktober.
Kerajaan Myanmar menubuhkan ICOE pada 30 Julai sebagai sebahagian inisiatif nasional untuk mewujudkan perdamaian, keamanan, kestabilan dan pembangunan di negeri itu.
Penubuhannya juga bertujuan menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dan isu lain yang berkaitan dengan serangan keganasan oleh Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (ARSA) pada tahun lepas.
Dipengerusikan Manalo, suruhanjaya itu dianggotai empat orang dan akan dibantu pakar undang-undang serta teknikal dalam serta luar negara.
Kerajaan Myanmar menegaskan jika terbukti terdapatnya pelanggaran hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan di Myanmar, tindakan mengikut undang-undang akan diambil.
Ia juga sebagai langkah untuk menyekat cubaan membawa Myanmar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Myanmar turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, mengenai usaha untuk mengembalikan semula penduduk yang melarikan diri dari Rakhine pulang semula ke negara asal.– Bernama, 8 Oktober, 2018.
Komen