Kumpulan hak asasi haiwan di Paris bantah bunuh tikus


Beberapa lukisan tikus kelihatan di dinding di bandar Paris. Kempen henti bunuh tikus dilancarkan di stesen metro oleh Paris Animaux Zoopolis. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2018.

SEBUAH kumpulan hak asasi haiwan melancarkan kempen menggesa menghentikan pembunuhan yang banyak ke atas tikus.

Kempen itu dilancarkan di stesen-stesen metro oleh Paris Animaux Zoopolis, bertujuan mempertahankan semua haiwan termasuk tikus.

Kumpulan hak asasi itu juga menggesa usaha membunuh tikus di Paris tidak diteruskan, yang menurut pihak berkuasa bandar raya ia bertujuan meningkatkan kesihatan awam, lapor agensi berita Xinhua.

“Tikus tidak semestinya dilihat sinonim dengan kotoran,” kata pengasas bersama kumpulan itu Philippe Reigne.

Menurutnya, tikus sebenarnya membantu mengurangkan jumlah sampah dengan memakan kira-kira tujuh kilogram sampah sepanjang jangka hayat mereka, menurut The Telegraph.

Populasi tikus di Paris dianggarkan kira-kira empat juta dan dengan mudah berupaya melangkaui jumlah manusia.

Tikus sering dilihat di jalan, taman dan stesen metro terutamanya ketika banjir.

Rakaman mengenai tikus yang mengganggu bandar dan menakutkan orang ramai sering tular di media sosial.

Pihak berkuasa telah lama berusaha membasmi tikus dengan pelbagai cara. Pada akhir 2016, banyak taman rekreasi ditutup untuk memudahkan lagi usaha membasmi tikus. Pada Januari, pihak berkuasa memperkenalkan pelan anti-tikus membabitkan kos 1.7 juta euro (AS$1.96 juta).

Pada Julai sebanyak 4,950 operasi anti-tikus dilaksanakan membabitkan 200 taman dan 600 bangunan. – Bernama, 8 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen