Presiden Interpol letak jawatan


Meng Hongwei meletak jawatan susulan pengumuman Beijing bahawa beliau kini sedang disiasat kerana melanggar undang-undang tempatan. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2018.

PRESIDEN Polis Antarabangsa (Interpol) dilaporkan meletak jawatan susulan pengumuman Beijing bahawa beliau kini sedang disiasat kerana melanggar undang-undang tempatan.

Kerajaan China masih berdiam diri mengenai nasib yang menimpa Meng Hongwei, sebaik saja pihak berkuasa Perancis melaporkan kehilangannya selepas meninggalkan negara itu bulan lalu.

Hongwei pernah menyandang jawatan sebagai timbalan menteri keselamatan awam China.

Insiden kehilangan Hongwei dijangka mampu menjejaskan usaha Beijing untuk meraih kedudukan dalam beberapa pertubuhan antarabangsa.

Penganalisis berkata kes terbabit juga dianggap satu cabaran kepada Interpol yang berpangkalan di Perancis, iaitu agensi antarabangsa berperanan mengesan individu hilang.

Sementara itu, isteri Hongwei, Grace ketika ditemui di Lyon, iaitu lokasi ibu pejabat Interpol berkata beliau bimbang keselamatan suaminya, selepas menerima pesanan teks bersama emoji pisau.

Suruhanjaya Pengawasan Kebangsaan China yang mengendalikan kes rasuah membabitkan kakitangan awam bagaimanapun memecahkan kebuntuan awal hari ini, apabila mengeluarkan kenyataan Hongwei sedang disiasat kerana disyaki melanggar undang-undang.

Interpol kemudian mengumumkan mereka sudah menerima surat peletakan jawatan daripada Hongwei dan ia berkuat kuasa serta-merta.

Berita mengenai Hongwei, warga China pertama yang dilantik sebagai presiden Interpol kali terakhir diketahui pada 25 September ketika beliau meninggalkan Lyon.

Beliau dilantik ke jawatan itu pada 2016, walaupun mendapat bantahan kumpulan hak asasi manusia dan menetap di Perancis bersama isteri serta dua anaknya. – AFP, 8 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen