AMERIKA Syarikat (AS) sepatnya mendesak jawapan dari Arab Saudi berhubung kehilangan dan dakwaan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, kata The Washington Post semalam – dan menghukum Arab Saudi jika enggan memberi kerjasama.
Khashoggi, penulis artikel untuk The Washington Post yang lantang mengkritik Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, hilang selepas satu pertemuan dengan pegawai Saudi di konsulatnya di Istanbul.
Sumber dari kerajaan Turki berkata polis percaya wartawan itu dibunuh – satu dakwaan yang dinafikan oleh Riyadh.
“AS kini perlu berusaha untuk mencari semua fakta tentang kehilangan Khashoggi,” kata The Washington Post dalam ruangan pengarang, mendesak Washington untuk “mendesak jawapan, lantang dan jelas”.
Memandangkan Presiden Donald Trump melayan Putera Mohammed sebagai “sekutu”, akhbar itu berkata Arab Saudi kini sepatutnya memberikan maklumat tentang di mana Khashoggi.
Khashoggi, 59, ialah bekas penasihat kerajaan yang mengkritik beberapa dasar Putera Mohammed dan campur tangan Riyadh dalam perang di Yaman.
Beliau tinggal di Amerika Syarikat sejak tahun lalu untuk mengelak kemungkinan ditahan, dan sejak itu menulis beberapa siri dalam kolum di The Washington Post berkenaan hal ehwal Arab Saudi. – AFP, 8 Oktober, 2018.
Komen