Kejam, wartawan Bulgaria dirogol, dibunuh


Mayat Viktoria Marinova, 30, ditemui pada Sabtu berhampiran kawasan riadah di Danube dipercayai turut dirogol sebelum dibunuh. – Gambar AFP, 8 Oktober, 2018.

SEORANG wartawan penyiaran diperkosa sebelum dibunuh di utara bandar Ruse, Bulgaria, menurut pendakwa raya dan menteri semalam.

Mayat Viktoria Marinova, 30, ditemui pada Sabtu berhampiran kawasan riadah di Danube, kata pendakwa, Georgy Georgiev.

Katanya, kematian Marinova berpunca daripada hentakan di kepala dan lemas serta dipercayai berlaku pada siang hari.

“Telefon bimbit, kunci kereta, cermin mata dan sebahagian pakaian mangsa didapati hilang,” kata Georgiev, menambah pihak pendakwa sedang meneliti semua kemungkinan, peribadi mahupun berkaitan kerjaya Marinova.

Menteri Dalam Negeri Mladen Marinov kemudian mengesahkan kepada wartawan bahawa mangsa turut diperkosa.

Marinova mengendalikan satu program bual bicara hal ehwal semasa dikenali sebagai “Detector” untuk sebuah stesen televisyen swasta kecil, TVN di Ruse. Program ini dilancarkan semula baru-baru ini.

Episod pertama pada 30 September lalu memaparkan wawancara bersama wartawan penyiasatan, Dimitar Stoyanov dari laman web Bivol.bg dan Attila Biro dari Rise Project Romania, mengenai siasatan dakwaan penipuan membabitkan dana Kesatuan Eropah (EU) yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dan ahli politik ternama.

Mereka yang ditahan polis ketika cuba menghentikan proses memusnahkan dokumen yang dikaitkan dengan skim berkenaan. Ia sekali gus mengundang kecaman Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).

“Kami amat terkejut. Setakat ini kami tidak pernah menerima sebarang bentuk ancaman yang menyasarkan dirinya atau stesen televisyen,” kata seorang wartawan TVN yang tidak mahu dikenali. – AFP, 8 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen