Perkasa kecam majlis pecah tanah ECRL ‘terlalu China’


KUMPULAN pendesak hak Melayu, Perkasa hari ini mengecam majlis pecah tanah untuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), salah satu projek terbesar di bawah program One Belt One Road (OBOR) China di Kuantan kerana “terlalu China”.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata ia bukti Malaysia sudah dijajah menerusi ekonominya.

“Perkasa dimaklumkan majlis pecah tanah itu tiada rasa seperti di Malaysia. Penuh dengan bendera tulisan Mandarin.

“Perkasa sangat kecewa identiti negara hilang dalam majlis itu. Kelihatan bendera sepanjang jalan dalam bahasa Mandarin.

“Satu bendera Malaysia pun tidak ada. Apakah tidak dibenarkan bendera Malaysia diletak atau digantung untuk majlis itu?

“Lebih malang lagi pengacara majlis berbahasa Mandarin kemungkinan dibawa dari China. Permulaan penafian Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Najib Razak hari ini merasmikan majlis pecah tanah projek ECRL di Kuantan dan berkata ia pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana paling utama ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik ke pantai timur Semenanjung.

Ia turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Majlis Negara China Wang Yang, Pengarah Eksekutif dan Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Liu Qitao dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Mohd Irwan Serigar Abdullah serta tiga menteri besar negeri Pantai Timur.

Syed Hassan berkata lori dan jentera berat juga dibawa dari China dan Perkasa mahu tahu adakah pemadu lori dan pengendali mesin khas untuk pembinaan landasan kereta api itu juga dari China.

“Jika benar, apakah rakyat tempatan tidak mampu memandu atau mengendalikannya?

“Dan berapa ramai pekerja dari tanah besar China akan dibawa masuk untuk bekerja di projek ECRL,” katanya.

Beliau juga mengecam pemimpin kerajaan yang didakwanya sanggup menggadai maruah negara dan bangsa demi projek pembangunan.

Katanya, keadaan itu tidak berlaku ketika negara membina KLIA, Putrajaya, ERL, LRT, Litar F1, West Port, Menara Berkembar Petronas dan projek mega lain dalam negara sebelum ini.

“Di mana jati diri pemimpin negara sekarang,” katanya.

Projek mega yang disebutnya itu dibina pada zaman pemerintahan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang juga penaung Perkasa antara pengkritik tegar terhadap pentadbiran kerajaan sekarang yang melaksanakan projek besar dengan pembabitan China. – 9 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen