GEMPA susulan kuat menyebabkan penduduk panik dan bertempiaran lari semalam, selepas beberapa jam gempa kuat 5.9 membunuh sekurang-kurangnya 12 orang di Haiti.
Wartawan AFP di negara Caribbean 11 juta penduduk itu melaporkan gempa susulan yang kuat dirasai di bandar pesisir pantai Port-de-Paix. Masih belum diketahui sekiranya ia menyebabkan kerosakan.
Gempa yang berlaku Sabtu lepas, berpusat 19km dari Port-de-Paix mencederakan lebih 188 orang, merosakkan dan memusnahkan beberapa bangunan.
Gempa itu turut dirasai di ibu kota Port-de-Prince, mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk yang masih terkesan dengan gempa 2010 yang menyebabkan sekurang-kurangnya 200,000 terbunuh dan 300,000 cedera.
Presiden Jovenel Moise dan Perdana Menteri Jean-Henry Ceant melakukan lawatan ke kawasan bencana untuk melihat kemusnahan dan usaha menyelamat.
Gempa yang berlaku Sabtu lalu yang dirasai seluruh negara berlaku pada jam 8.10pm dengan pusat gempa sedalam 11.7 batu.
Kerajaan berkata lapan maut di Port-de-Paix, manakala tiga lagi di Gros-Morne dan seorang di Saint- Louis-du-Nord.
Bandar Chansolme dan Tortuga juga mengalami kerosakan, kata pegawai. – AFP, 8 Oktober, 2018.
Komen