PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang masih menaruh harapan untuk meneruskan forum dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad walaupun pelawaannya ditolak.
Hadi berkata, beliau sentiasa bersedia untuk meneruskan forum itu walaupun jika ia tidak diadakan di Port Dickson.
“Insha Allah boleh, tetapkan masa saya bersedia, Dr Mahathir yang tentukan isu. Apa isu yang munasabah, kita hormat orang tua biar beliau tentukan isu,” katanya kepada pemberita selepas ceramah di Linggi, Port Dickon, malam tadi.
Dr Mahathir semalam menolak pelawaan untuk berforum dengan Hadi ketika kunjungannya ke Port Dickson, hari ini.
Bagaimanapun, perdana menteri tidak menolak kemungkinan untuk berforum dengan Hadi pada waktu lain.
Dr Mahathir menegaskan beliau turun ke Port Dickson hari ini bagi berkempen untuk calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.
“Tak payahlah (untuk berforum dengan Hadi). Malam esok saya pergi (Port Dickson), tapi bukan nak forum dengan dia. Saya nak pergi kempen untuk Anwar,” katanya.
Calon PAS di Port Dickson, Mohd Nazari Mokhtar yakin akan dapat meraih 25% undi di kawasan Parlimen berkenaan, yang turut ditandingi parti Islam itu dalam pilihan raya umum 9 Mei.
Lima lagi lawan Anwar di Port Dickson bertanding Bebas termasuk menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad dan juga bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan.
Tiga lagi calon Bebas adalah Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen. – 8 Oktober, 2018.
Komen