MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa menuntut akhbar The Star membuat permohonan maaf terbuka terhadap laporan yang mendakwa Menteri Hal Ehwal Islam itu mengatakan “tidak ada lagi serbuan khalwat malam” untuk menyerang kehidupan peribadi umat Islam.
Menteri itu memberi tempoh 24 jam kepada akhbar tersebut untuk membuat permohonan maaf atau dia akan mengambil tindakan “lebih tegas”.
Setiausaha akhbarnya Siti Zulaikha Zulkifli, dalam satu kenyataan malam tadi mengulangi bahawa tidak wujud kenyataan seperti yang dilaporkan semasa wawancara itu dijalankan
Siti Zulaikha berkata dia telah meneliti wawancara tersebut dan “selepas penelitian dibuat, saya juga mendapati YB Menteri langsung tidak menyebut perkataan seperti yang ditulis dalam berita berkenaan pada perenggan pertama laporan itu “.
Laporan 6 Oktober The Star dengan tajuk utama: ‘Tiada Lagi Polis Moral’ sementara versi dalam talian adalah: ‘Tidak ada lagi serbuan khalwat malam atau pencerobohan ke dalam kehidupan peribadi orang Islam, kata Mujahid’ mencetuskan perdebatan dan kemarahan di kalangan konservatif Muslim, pemimpin agama, kumpulan masyarakat dan ahli politik.
“Ekoran tajuk yang disensasikan perenggan pertama yang ditulis berdasarkan interpretasi wartawan tersebut, berita ini menjadi tular sehingga menyebabkan salah faham terutamanya terhadap umat Islam di negara ini.,” kata Siti Zulaikha.
Mujahid dalam wawancara dengan TV Alhijrah menafikan pernah membuat kenyataan sedemikian.
Beliau berkata apa yang dilaporkan tidak berasal daripadanya dan juga dikatakan palsu apabila beliau memberitahu, “semuanya datang daripada editor membuat tafsiran sendiri mengenai kenyataan saya”.
“Mungkin ditambah oleh akhbar itu sendiri.”
“Sekiranya kita mencurigakan, kita akan bertindak tetapi sekali lagi ia akan berada dalam lingkungan undang-undang,” kata Mujahid.
Beliau mengakui dalam wawancara tersebut beliau menyentuh mengenai isu-isu yang dilakukan di khalayak ramai dan peribadi serta penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa untuk mancampuri urusan ke dalam ruang peribadi seseorang yang disifatkan “tidak mencerminkan nilai-nilai Islam”.– 7 Oktober, 2018.
Komen