Netanyahu disoal siasat kes rasuah


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu disoal siasat polis mengenai tuduhan rasuah beberapa hari sebelum isterinya menjalani perbicaraan kes yang hampir serupa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2018.

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu menjalani beberapa siasatan pada hari Jumaat mengenai beberapa kes rasuah yang boleh mengancam kedudukannya, lapor media Israel.

Siasatan kali ke-12 itu menyaksikan Netanyahu sebagai suspek dalam pelbagai kes dua hari sebelum isterinya Sara muncul di mahkamah atas tuduhan menyalahgunakan dana negara untuk untuk jamuan di kediaman rasmi mereka.

Netanyahu belum dituduh dalam mana-mana kes dan seorang jurucakap beliau pada hari Jumaat menegaskan perdana menteri itu tidak bersalah.

Netanyahu berulang kali mempersoalkan tuduhan yang melibatkan perniagaan gergasi telekomunikasi Israel, Bezeq dan pemegang saham terbesarnya, Shaul Elovitch.

Netanyahu dituduh mencari liputan yang dapat menaikkan sokongan terhadapnya daripada syarikat Elovitch yang lain, laman berita Walla, sebagai pertukaran, beliau menggubal dasar yang dapat memberi manfaat kepada kepentingan mogul perniagaan itu dengan jumlah jutaan dolar Amerika.

Beliau turut disoal siasat sebagai saksi dalam kes yang melibatkan pembelian tiga kapal selam Jerman.

Televisyen Israel pada hari Jumaat menunjukkan rakaman pegawai polis tiba di pejabatnya.

Polis mengesahkan bahawa perdana menteri disoal siasat selama beberapa jam tanpa mendedahkan butiran lanjut.– AFP, 7 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen