JUMLAH mangsa yang dipercayai hilang akibat gemba bumi dan tsunami yang melanda kota Palu, Indonesia mencecah 5,000 orang, kata pihak berkuasa hari ini, memberi bayangan bahawa jumlah kematian akan bertambah dalam bencana berkembar itu.
Agensi bencana Indonesia berkata mereka menemui 1,763 mayat setakat ini akibat gempa bumi berskala 7.5-magnitud dan tsunami yang melanda Sulawesi pada 28 September.
Tetapi ada kebimbangan bahawa dua kawasan berjiran dengan Palu yang paling teruk terjejas – Petobo dan Balaroa – mungkin mempunyai ribuan lagi mangsa, ditelan tanah yang melanda seluruh komuniti di situ dalam satu proses dikenali sebagai pencairan.
“Berdasarkan laporan dari ketua kampung Balaroa dan Petobo, terdapat kira-kira 5,000 orang masih belum ditemui,” kata jurucakap agensi, Sutopo Purwo Nugroho.
“Namun, pihak berkuasa masih cuba mengesahkan perkara itu dan sedang mengumpulkan data. Bukan mudah mendapatkan jumlah tepat mangsa yang terperangkap dalam tanah runtuh, atau pencairan atau lumpur,” katanya.
Nugroho berkata pencarian itu akan diteruskan hingga 11 Oktober, di mana selepas tarikh itu, mereka akan disenaraikan sebagai hilang, dianggap meninggal dunia.
Jumlah kematian naik mendadak dengan anggaran mereka yang hilang ketika bencana itu melanda 10 hari lalu bertambah. Pihak berkuasa pada awalnya menganggarkan kira-kira 1,000 orang tertanam dalam runtuhan di Palu.
Tetapi jumlah terbaru itu menunjukkan kawasan paling teruk terjejas iaitu Petobo dan Balaroa mempunyai jumlah mangsa hilang lebih tinggi.
Petobo, sebuah perkampungan kluster di Palu, hampir terhapus akibat gempa bumi dan ombak kuat di Palu.
Kebanyakannya juga tertelan ke dalam tanah akibat gempa bumi. – AFP, 7 Oktober, 2018.
Komen