Kalau Anwar menang mungkin kena mengundi lagi, kata PAS


Mohd Farhan Darwis

PAS pada sidang media hari ini menggesa pengundi Port Dickson menolak Anwar Ibrahim kerana calon PH itu mungkin akan hilang kelayakan walaupun menang PRK itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 7 Oktober, 2018.

PAS menyeru pengundi Port Dickson menolak Anwar Ibrahim kerana mendakwa calon Pakatan Harapan (PH) itu mungkin akan hilang kelayakan walaupun menang pilihan raya kecil (PRK) pada 13 Oktober ini.

Setiausaha Agung PAS Takyuddin Hassan berkata Anwar berisiko untuk hilang kerusi Parlimen Port Dickson kerana terdapat saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadapnya.

“Kita tegas meminta mahkamah buat penghakiman bagi mengelakkan risiko PRK semula, kita juga seru supaya pengundi Port Dickson jangan pilih calon ini,” kata Takiyuddin.

Pada sidang medianya di Port Dickson hari ini, Takiyuddin menyebut saman difailkan seorang pengundi Port Dickson bagi mengisytiharkan Anwar tidak layak bertanding pilihan raya.

Noraziah Mohd Shariff, 38, memohon perisytiharan itu kerana mendakwa pengampunan ke atas Anwar tidak membatalkan kehilangan kelayakannya menjadi ahli Parlimen.

Noraziah turut memohon perisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pengampunan terhadap Anwar adalah tidak berperlembagaan.

“Kita minta mahkamah buat keputusan awal, sama ada terima atau tolak… itu lebih baik kerana rakyat akan buat keputusan, sekarang rakyat kekeliruan,” kata ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Katanya, mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk tindakan selanjutnya.

Peguam Negara Tommy Thomas pada hari penamaan calon PRK Port Dickson, pada 20 September lalu mengesahkan Anwar layak bertanding.

“Oleh itu, menurut Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan, Anwar tidak dibatalkan daripada menjadi calon bagi pilihan raya kecil yang akan datang untuk kawasan pilihan raya Port Dickson,” kata Tommy, dalam kenyataannya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun pada hari sama juga berkata pengampunan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“SPR mengambil pendirian bahawa Anwar berkelayakan menjadi calon dan seterusnya bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson, P132,” katanya.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata kenyataan Tommy merujuk kepada pengampunan penuh, sedangkan Perlembagaan hanya menggunakan istilah pengampunan bebas.

Oleh itu, PAS akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya Anwar memenangi kerusi Parlimen itu, katanya.

“Kalau teruskan juga saya yakin mahkamah buat keputusan kalau dia (Anwar) terkeluar, dan kita dapat undi kedua terbanyak kita boleh menang, ataupun kita buat petisyen pilihan raya,” kata Takiyuddin.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, dengan Anwar diletakkan sebagai calon mewakili PH.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad bertanding atas tiket bebas bersama Saiful Bukhari Azlian, Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen.

PAS pula meletakkan veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon mereka.

Hari pengundian dijadualkan pada 13 Oktober depan, manakala pengundian awal bakal berlangsung pada 9 Oktober. – 7 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen