Wartawan dibunuh dalam Kedutaan Arab Saudi, kata Turki


Polis Turki percaya wartawan warga Arab Saudi Jamal Khashoggi dibunuh dalam Kedutaan Arab Saudi di Istanbul. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2018.

POLIS Turki menyimpulkan yang seorang wartawan terkenal Arab Saudi Jamal Khashoggi dibunuh dalam Kedutaan Saudi di Istanbul selepas hilang Selasa lalu, kata sumber kerajaan yang tidak mahu dinamakan pada Sabtu.

“Berdasarkan penemuan awal mereka, polis percaya yang wartawan itu dibunuh oleh pasukan dihantar ke Istanbul yang meninggalkan (Turki) pada hari yang sama,” kata pegawai tersebut kepada AFP.

Berita itu diterbitkan beberapa jam selepas polis mengesahkan sekitar 15 orang warga Arab Saudi termasuk pegawai tiba di Istanbul melalui dua pesawat pada Selasa dan berada di konsulat tersebut pada masa sama wartawan itu berada di sana.

Khashoggi, kolumnis Washington Post, “tidak keluar” dari bangunan itu, kata polis kepada agensi berita Anadolu.

Berdasarkan siasatan awal ini, Ankara mengumumkan pada Sabtu yang mereka membuka siasatan rasmi kepada kehilangan wartawan itu.

Bekas penasihat kerajaan yang kritikal terhadap dasar Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan campur tangan Arab Saudi dalam perang di Yaman, Khashoggi hidup dalam buangan di Amerika Syarikat sejak tahun lepas untuk elak ditangkap.

Putera mahkhota itu sebelum ini dalam temu bual bersama Bloomberg menafikan yang wartawan itu berada dalam bangunan konsulat dan pihak berkuasa Turki boleh memerika bangunan itu.

“Kami bersedia mengalu-alukan kerajaan Turki untuk masuk dan memeriksa premis kami,” katanya. Bangunan kedutaan adalah jajahan asing dalam negara tuan rumah.

Tambahnya “kami akan membenarkan mereka masuk dan memeriksa dan buat apa sahaja mereka mahu buat…kami tidak ada apa-apa hendak disembunyikan,” katanya dalam temu bual diterbitkan pada Jumaat.

Tunang Khashoggi, Hatice Cengiz warga Turki pula berkata beliau “tidak percaya yang dia sudah dibunuh”.

Menurut Cengiz, Khashoggi melawat kedutaan tersebut untuk menerima dokumen rasmi untuk perkahwinannya.

Kementeri Luar Turki pada Rabu memanggil duta Arab Saudi menghadap berkaitan kehilangan Khashoggi.

Khashoggi yang berusia 60 tahun pada 13 Oktober depan meninggalkan Arab Saudi pada September 2017, beberapa bulan selepas Putera Mohammed dilantik sebagai waris diraja dan ketika kempen menahan berpuluh-puluh penentang kerajaan termasuklah intelektual dan pendakwah berlaku.

Wartawan itu berkata yang beliau dihalang daripada menulis untuk akhbar Al-Hayat, milik Putera Saudi Khaled bin Sultan al-Saud, kerana membela Ikhwanul Muslimin yang disenaraihitamkan Riyadh sebagai organisasi pengganas.

Khashoggi juga mengecam peranan Arab Saudi di Yaman, di mana Riyadh mengetuai pakatan ketenteraan berjuang bersama-sama kerajaan dengan pemberontak disokong Iran. – AFP, 7 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen