Indonesia pertimbang henti misi menyelamat, isytihar kubur besar


Hampir 1,700 maut dan seribu lagi masih hilang selepas gempa bumi dan tsunami melanda Palu memusnahkan bandar itu. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2018.

LEBIH banyak mayat dikeluarkan dari bandar dilanda gempa dan tsunami, Palu pada Sabtu, ketika pihak berkuasa mula mempertimbangkan untuk menghentikan usaha mencari penduduk kampung yang maut tertimbus dan mengisytiharkannya kubur besar.

Pegawai berkata jumlah kematian meningkat kepada 1,649 dengan lebih seribu orang masih hilang di bandar pesisir pantai Pulau Sulawesi itu.

Lebih 82,000 anggota tentera dan keselamatan, serta sukarelawan berada di bandar teruk dilanda bencana itu, dengan kumpulan penyelamat berkata kekurangan bekalan air bersih dan ubat-ubatan jadi masalah besar.

Selepas beberapa hari terlewat, bantuan antarabangsa mula memasuki kawasan bencana yang menurut PBB hampir 200,000 orang memerlukan bantuan kemanusian segera.

Tetapi harapan mencari mereka yang masih hidup selepas lapan hari semakin tipis, ketika misi mencari mangsa selamat kini bertukar jadi operasi mengumpulkan mayat.

Di kompleks perumahan kerajaan Balaroa yang luas, di mana kuasa gempa membolak-balikkan tanah, tentera memakai topeng untuk menghalang bau tengik mayat yang tertimbus dalam timbunan lumpur, batu bata dan simen.

Banyak mayat yang mula membusuk masih tertimbus di kawasan yang dahulunya sebuah perkampungan itu, kata agensi mencari dan menyelamat.

Dua askar yang merupakan anggota misi menyelamat membawa sebuah beg yang nampak terlalu ringan untuk terisi mayat- kata mereka di dalamnya adalah kepala dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak yang mereka temui.

“Tidak ada yang terselamat di sini. Kami hanya jumpa mayat, setiap hari,” kata anggota tentera, Syafaruddin.

Di Hotel Roa-Roa yang runtuh sepenuhnya, semangat untuk menemui mangsa selamat makin hari makin luntur. Penyelamat mengkaji CCTV untuk menilai di mana tetamu malang hotel itu tertimbus.

Di Petobo- sebuah lagi perkampungan yang lenyap dari peta- pasukan menyelamat bergelut untuk mengeluarkan mayat daripada runtuhan dan tanah, selalunya hanya berjaya menarik kaki mayat yang sudah mereput lebih seminggu.

Misi mencari mangsa selamat secara rasminya masih belum ditamatkan.

Antara perkampungan yang musnah di Palu, pasukan penyelamat menyifatkan hampir mustahil untuk menemui mangsa selamat. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2018.

Tetapi Menteri Keselamatan Wiranto berkata kerajaan sudah membincangkan dengan pemimpin tempatan dan tokoh agama bilakah kawasan bencana dahsyat boleh diisytiharkan sebagai kubur besar dan dibiarkan tidak disentuh.

“Kita perlu buat keputusan bilakah misi mencari mayat akan ditamatkan. Kemudian, kita perlu memutuskan sama ada kawasan itu akan diisytiharkan sebagai kubur besar,” katanya kepada wartawan Jumaat lalu.

Wujud juga kebimbangan yang mayat meremput boleh bertukar jadi ancaman kesihatan yang serius.

“Kebanyakan mayat yang ditemui tidak sempurna, dan itu boleh mendatangkan bahaya kepada penyelamat. Kita perlu berhati-hati untuk elak pencemaran,” kata Yusuf Latif, jurucakap kepada agensi mencari dan menyelamat Indonesia kepada AFP dari Palu.

Walaypun Organisasi Kesihatan Dunia berkata tidak ada bukti mayat dalam bencana seperti itu boleh mencetuskan wabak, ia turut memberi amaran pengendalian mayat berdepan risiko penyakit berjangkit seperti batuk kering, taun dan virus jangkitan darah.

Beribu-ribu mangsa selamat pula terus keluar dari Palu menuju ke bandar berhampiran selepas bencana itu.

Hospital pula masih sesak ditambah dengan kekurangan kakitangan dan bekalan perubatan.

Projek HOPE, sebuah NGO perubatan berkata hanya dua daripada 82 kakitangannya di Palu melapor diri selepas gempa.

“Kami masih tidak tahu nasib doktor, jururawat dan juruteknik yang selalunya bertugas di klinik ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ada mangsa yang terselamat pula memecah masuk kedai dan menaiki trak bekalan untuk mencari bekalan asas, menyebabkan pasukan keselamatan menangkap berpuluh orang disyaki pencuri dan memberi amaran yang mereka akan menembak pencuri.

Pada Sabtu, ratusan orang menyerbu lori pengangkut minyak masak, sementara sebuah pasar raya yang dibuka dengan kawalan tentera enggan membenarkan orang ramai masuk, sebaliknya mengedarkan barangan melalui pintunya sahaja.

Konvoii lima ratus trak dipenuhi dengan makanan, minyak masak dan bekalan asas lain hasil sumbangan derma dalam perjalanan ke Palu, kata Menteri Pertanian Amran Sulaiman pada Sabtu.

“Kesengsaraan Palu adalah derita kita semua dan kerana itu semua orang menghulurkan bantuan,” katanya.

Pada Jumaat, PBB berkata ia memerlukan AS$50.5 juta untuk “bantuan segera” kepada mangsa.

Memindahkan bekalan asas kepada kawasan terjejas masih berdepan kesukaran kerana hanya sejumlah kecil penerbangan mampu mendarat di lapangan terbang Palu, menyebabkan ramai pekerja kemanusiaan terpaksa menggunakan pengangkutan darat yang memakan masa lama.

Oxfam sudah menghantar unit rawatan air dan kit sulingan ke Palu dan pasukan bantuan Switzerland di Palu memberikan bantuan air minuman dan pusat perlindungan sementara.

Indonesia terletak di atas kawasan plat tektonik paling aktif dunia, dan 260 juta rakyatnya terdedah kepada bencana gempa bumi, tsunami dan gunung berapi. – AFP, 7 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen