'Anwar bakal PM' tarikan pemilih balik mengundi


Mohd Farhan Darwis

Pengundi Port Dickson yang berada di luar kawasan teruja untuk balik mengundi kerana faktor Anwar Ibrahim, bakal perdana menteri Malaysia kelapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Oktober, 2018.

PAKATAN Harapan bimbang tidak ramai pengundi di luar kawasan akan pulang mengundi pada 13 Oktober namun tinjauan dilakukan The Malaysian Insight menunjukkan perkara sebaliknya.

Pengundi berkenaan menyatakan mereka bersemangat untuk pulang mengundi bagi memastikan Anwar Ibrahim terpilih ke Parlimen dan menjadi perdana menteri kelapan.

Seorang daripadanya, Zulhusni Omar, 25, berkata beliau akan pulang ke kampung halamannya di Pantai Nelayan, Port Dickson untuk mengundi Anwar walau terpaksa menempuh jarak perjalanan 300km.

Pekerja syarikat minyak dan gas yang sudah tiga tahun menetap di Johor itu tidak mahu terlepas peluang untuk menjadikan Anwar perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

“Saya sekarang kira-kira 60% akan balik mengundi, walaupun kita ini geng-geng yang baru mula nak hidup, faktor kewangan kena fikir juga.

“Tapi bila fikir tempat kita, masa depan tempat kita, kena balik juga untuk mengundi,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Ini merupakan kali kedua Zulhusni akan pulang mengundi, selepas kali pertama pada 9 Mei lalu, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Zulhusni yang akan ditemani isteri merancang untuk mengambil cuti selama dua hari memandangkan PRK Parlimen Port Dickson dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu.

Penduduk Port Dickson mengharapkan Anwar Ibrahim selaku wakil rakyat mereka dan bakal perdana menteri mampu memajukan kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Oktober, 2018.

“Sebagai bakal perdana menteri, Anwar boleh membangunkan tempat kita di Port Dickson,” katanya.

Kalangan pengundi di luar kawasan ini juga dilihat bersemangan untuk pulang mengundi bagi menolak bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad, yang kini bertanding atas tiket Bebas.

“Mat Isa (Isa Samad) banyak sangat isu, dengan skandal Felda lagi, rakyat Teluk Kemang dan Port Dickson ramai dah (tak sokong) Isa.

“Walaupun ada pengikut, dengan isu yang banyak, sukar Isa nak tarik sokongan pengundi baru,” kata Zulhusni lagi.

Isa dilihat meraih lebih banyak sokongan daripada pengundi lebih berumur, kerana pernah menjadi menteri besar selama 22 tahun.

Bekas menteri itu pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Pinang dan Linggi, dua kawasan DUN dalam Parlimen Teluk Kemang, nama lama kawasan Port Dickson sebelum persempadanan semula.

Sementara itu, Ahmad Firdaus Omar, 24, juga mengesahkan akan pulang untuk mengundi.

“Pada PRU14 saya tak sempat mengundi, kali ini saya akan balik,” kata pekerja minyak dan gas yang menetap di Pengerang, Johor itu.

Firdaus berkata, beliau memilih Anwar kerana orang-orang tua dalam keluarganya banyak menyokong Anwar.

“Orang tua-tua banyak cerita pasal Anwar… Isa Samad saya tak kenal sangat,” katanya.

#UndiRabu yang muncul pada PRU14 lalu turut muncul pada PRK Port Dickson kali ini. – Gambar Facebook, 7 Oktober, 2018.

Bagi Mimi Nabila, 28, keterujaan untuk pulang mengundi dapat dirasai kerana kali ini calon ahli Parlimen mereka adalah bakal perdana menteri.

Jururawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur itu bercadang akan mengambil cuti selama sehari dan pulang ke kediaman keluarganya di Bandar Baru Sungala untuk mengundi.

“Seronok mengundi, lebih-lebih lagi kali ini Anwar yang bertanding,” katanya, yang turut mengundi pada 9 Mei lalu.

PH meletakkan sasaran untuk Anwar meraih sekurang-kurangnya 18,000 undi majoriti selain jumlah undi dan jumlah keluar mengundi lebih besar berbanding pada 9 Mei.

Namun sasaran berkenaan tidak akan dapat dicapai sekiranya jumlah keluar mengundi rendah, seperti dicatat dalam tiga pilihan raya kecil di Selangor sejak PRU14.

Oleh itu, PH berharap agar pengundi luar yang berjumlah 35% daripada 77,750 ini akan keluar mengundi bagi memastikan Anwar menang bergaya.

Inisiatif untuk membawa pulang pengundi kini ini dijalankan oleh NGO Undi Rabu yang kembali menggerakkan kempen mereka supaya pengundi luar dapat pulang menunaikan tanggungjawab.

Isa Samad lebih disukai pengundi berusia berbanding pengundi muda, skandal serta isu yang berkaitan dirinya juga memainkan peranan pengundi memilih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2018.

Walaupun hari pengundian tidak diadakan pada hari bekerja seperti PRU14, Alzari Mahshar, salah seorang tunggak utama di belakang inisiatif itu, berkata semua pengundi mempunyai hak untuk memilih siapa yang mereka mahu menjadi Ahli Parlimen mereka.

Majoriti pemilih Port Dickson terdiri dairpada pengundi Melayu berjumlah 43%, pengundi Cina, 33%, pengundi India, 22%, dan lain-lain 2%.

Pengundi awal pula terdiri daripada 6,690 anggota tentera, dan 578 pengundi lagi terdiri daripada anggota polis.

Pada PRU14, calon PH Danyal Balagopal Abdullah memenangi kerusi Parlimen tunggal PKR di Negeri Sembilan itu dengan 36,225 undi mengalahkan calon Barisan Nasional dari MIC Mogan Velayatham (18,515 undi), dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594 undi).

Danyal melepaskan kerusi itu untuk Anwar ke Parlimen sebagai persediaan menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Selain Isa, Anwar juga bakal berhadapan empat lagi calon bebas, iaitu bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen.

PAS pula meletakkan calon veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel, Mohd Nazari Mokhtar dalam usaha menarik sokongan pengundi tentera. – 7 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen