PEMIMPIN pembangkang Bangladesh Khaleda Zia yang sedang menjalani hukuman penjara, dikejarkan ke hospital di Dhaka hari ini.
Beliau terpaksa mendapatkan rawatan ekoran tahap kesihatannya yang semakin merosot.
Bekas perdana menteri berusia 73 tahun itu dikeluarkan dari penjara untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital universiti terkemuka di Bangladesh.
“Beliau dimasukkan ke Hospital Universiti Perubatan Bangabandhu Sheikh Mujib,” kata pengarah hospital itu, Brigadier Jeneral Abdullah al Harun kepada AFP.
Abdullah berkata sepasukan doktor pakar telah diarahkan untuk merawat Khaleda.
Khaleda menerima rawatan itu hanya beberapa hari selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan beliau ditempatkan di hospital selepas peguamnya berkata kerajaan enggan memberi penjagaan rapi ke atas bekas pemimpin itu.
Beliau yang mengetuai Parti Nasionalis Banglades, dipenjara selama lima tahun sejak Februari lalu atas kesalahan rasuah.
Khaled memegang jawatan perdana menteri Bangladesh sebanyak dua kali iaitu pada 1991 hingga 1996 dan 2001 hingga 2006. – AFP, 6 Oktober, 2018.
Komen