ARAB SAUDI akhirnya bersetuju untuk menyokong laporan khas saintis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu pemanasan global.
Tanpa bantahan daripada negara pengeluar utama minyak itu, persidangan yang melibatkan 195 negara di Incheon, Korea Selatan meluluskan laporan tersebut bagi mencari jalan mengehadkan suhu dunia di bawah 1.5 darjah Celsius.
Sebelum ini, Saudi dilapor mahu membantah laporan itu yang menyarankan langkah untuk mengurangkan penggunaan minyak fosil, sumber utama Riyadh dalam menjana pendapatan negaranya.
“Arab Saudi tidak meneruskan bantahan dalam persidangan itu,” kata sumber yang menghadiri pertemuan itu kepada AFP.
Laporan setebal 500 muka surat itu dinilai oleh Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) sebagai usaha bersama dalam menangani isu pemanasan global.
Di bawah peraturan IPPC, semua negara perlu menandatangani laporan itu untuk memastikan objektif kajian yang dibuat sainstis tercapai.
Pada tahun 1997, Protokol Kyoto membuat kesimpulan bagi negara-negara maju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau mereka dalam tempoh 2008-2012.
Perjanjian Cancún 2010 pula menyatakan bahawa pemanasan global masa depan harus dihadkan kepada di bawah 2.0 darjah Celsius (C) berbanding dengan peringkat praindustri.
Protokol tersebut telah dipinda pada tahun 2012 untuk merangkumi tempoh 2013-2020 dalam Pindaan Doha. Pada tahun 2015, Perjanjian Iklim Paris diterima pakai, yang mengawal pengurangan pelepasan dari 2020 melalui komitmen negara-negara ahli. – AFP, 6 Oktober, 2018.
Komen