CHINA kekal kunci mulut berkenaan ketua Interpol yang hilang, menambahkan lagi misteri mengenai nasib ketua polis antarabangsa itu selepas beliau dikatakan ditahan untuk disoal siasat ketika tiba di tanah airnya.
Menurut sumber siasatan, Meng Hongwei, 64, kali terakhir dilihat meninggalkan ibu pejabat Interpol di Lyon, Perancis untuk ke China pada akhir September.
Sejak itu isteri Meng melaporkan kehilangan beliau.
Ini adalah kes kehilangan berprofil tinggi ketiga di China, iaitu beberapa pegawai tinggi kerajaan, jutawan malah selebriti terkemuka hilang selama beberapa minggu atau bulan pada satu-satu masa.
Setakat ini Beijing tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes Meng.
Namun, sebaik saja Meng dilaporkan hilang, timbul spekulasi bahawa Meng - yang juga berkhidmat sebagai timbalan menteri di Kementerian Keselamatan Awam China - ditangkap dalam kempen anti rasuah Beijing yang dirahsiakan.
Memetik sumber yang enggan dikenali, South China Post berkata pihak berkuasa dari suruhanjaya disiplin negara itu telah menangkap Meng sebaik sampai di China.
Baru-baru ini China menubuhkan Suruhanjaya Seliaan Kebangsaan yang diberi kuasa untuk menyiasat penjawat awam di negara itu untuk ketelusan.
Walaupun undang-undang mensyaratkan pihak berkuasa memaklumkan keluarga mengenai penahanan, ia bagaimanapun terkecuali bagi kes yang melibatkan keselamatan negara, keganasan atau kebimbangan terhadap pemusnahan bukti atau gangguan terhadap saksi.
Interpol juga tidak menyebut di mana Meng berada.
“Perkara ini melibatkan pihak berkuasa di Perancis dan China,” kata Interpol di Twitter, sambil menambah tidak mengulas lanjut. – AFP, 6 Oktober, 2018.
Komen