Serbuan khalwat ikut undang-undang


KHALWAT merupakan wasilah (jalan) ke arah berlakunya zina. Kaedah fikah ada menyebut: Apa-apa yang membawa kepada perkara haram maka ia juga turut haram.

Khalwat atau berdua-duaan akan menjatuhkan maruah individu yang terlibat dan kedua-kedua keluarga pasangan yang berkhalwat. Nama baik keluarga akan tercemar dengan perbuatan ini. 

Malah ia juga boleh mencemarkan dan menjatuhkan maruah masyarakat Islam dalam sebuah kampung, mukim atau daerah di mana kejadian itu berlaku. Di sinilah letaknya peranan masyarakat sebagai tuntutan fardhu kifayah. 

Membenarkan khalwat berlaku dengan alasan tidak mahu masuk campur dalam dosa peribadi hanyalah menggalakkan percambahan berlakunya kes zina dalam kalangan masyarakat. Ketika berlakunya zina, akan timbul kes pembuangan dan pembunuhan anak yang akan membawa kepada pencerobohan ke atas maqasid Islam iaitu hifz al-nafs (penjagaan nyawa). Bahkan penzinaan juga akan menyebabkan rosaknya maqasid Islam yang ke empat iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan).

Serbuan dan tangkapan yg dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama adalah berdasarkan undang-undang yang telah dikanunkan iaitu Enakmen Tatacara Jenayah Syariah. 

Ia juga adalah berdasarkan maklumat dan aduan. Apabila telah wujud aduan maka ia bukan lagi isu peribadi sebaliknya telah diketahui umum. Maka, telah menjadi tanggungjawab kerajaan yg memerintah untuk mengambil tindakan sebagai tanggungjawab kepada rakyat. – 6 Oktober, 2018.

* Musa Awang adalah presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen