LEBIH daripada 1.5 juta sisa sampah haram dirampas pada Jun lalu dalam rampasan terbesar di seluruh dunia melibatkan 43 pasukan polis, kata Interpol semalam.
Lebih daripada 300 orang didakwa kerana melanggar undang-undang berkaitan pembuangan sisa haram yang kebanyakkannya akan dibuang ke laut dan sungai, mewujudkan ancaman kepada kesihatan.
“Ia membuktikan kejayaan dapat dicapai apabila negara bekerjasama untuk mengesan, menyekat dan menghalang jenayah pencemaran,” kata Joseph Poux daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Operasi yang berlaku selama sebulan pada Jun lalu, dikenali sebagai “30 Hari Tindakan” disasarkan untuk memberi amaran kepada penjenayah yang terlibat dalam penyeludupan sisa, katanya.
“Kumpulan jenayah terancang terlibat dalam penyeludupan sisa perlu diberikan amaran yang mereka akan ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan bersama Interpol.
Kebanyakkan sisa adalah besi atau alat elektronik terpakai, terutamanya berkaitan dengan industri automobil. Seramai 326 individu dan 244 syarikat dikenal pasti melanggar undang-undang berkaitan pelupusan dan pengeksportan sisa.
Eksport sisa haram dari Eropah dan Amerika Utara mensasarkan Asia dan Afrika untuk proses pelupusan atau pemprosesan haram, tetapi ada juga penyeludupan sisa berlaku antara negara Eropah.
Jenayah melibatkan sisa sampah dianggap berisiko rendah tetapi memberikan pulangan lumayan kepada kumpulan jenayah terancang yang mengeksploitasi perbezaan perundangan antara negara dalam dunia selain sistem penguatkuasaan yang lemah.
Kesan alam sekitar kerana jenayah ini dianggap memberi ancaman kepada dunia.
“Jenayah melibatkan sisa sampah ialah kebimbangan dunia: 275 juta tan sisa plastik dihasilkan pada 2010, hampir 12.7 juta dibuang secara haram ke laut,” kata Interpol.
“Apabila sisa merbahaya tidak dilupuskan dengan betul, ia mencemarkan air, tanah dan udara mengancam kesihatan dan keselamatan global.” – AFP, 9 Ogos, 2017.
Komen