TIGA cedera dengan salah seorangnya kritikal, selepas Israel mengebom pangkalan Hamas di Tebing Gaza, kata sumber keselamatan dan perubatan Palestin, beberapa jam selepas sebuah roket dilepaskan mensasarkan kawasan taklukan Israel.
Sumber keselamatan memberitahu AFP yang pesawat Israel menyerang dua pangkalan milik tentera Hamas di utara Gaza menyebabkan kerosakan teruk.
Seorang pegawai perubatan di Hospital Shifa, Tebing Gaza memberitahu tiga orang dirawat kerana kecederaan akibat serangan itu, termasuk seorang pemuda berusia 26 tahun yang kritikal kerana terkena serpihan letupan.
Tentera Israel mengesahkan serangan itu, mengatakan yang ia adalah serangan balas kepada tindakan pihak tertentu di Gaza yang melancarkan sebuah roket mengenai selatan kawasan Israel.
Kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan, kata jurucakap tentera itu.
Israel dan Hamas yang mentadbir Gaza sudah berperang sebanyak tiga kali sejak 2008.
Sejak konflik terakhir pada 2014, genjatan senjata yang sering dicabuli dilaksanakan di sempadan kedua-dua negara itu.
Roket dan peluru berpandu seringkali disasarkan ke Israel, selalunya oleh kumpulan pendesak lain yang tidak sehaluan dengan Hamas.
Tetapi bagi Israel, Hamas bertanggungjawab untuk semua serangan roket yang dilepaskan dari Gaza, dan biasanya akan melakukan serangan balas dalam masa beberapa jam. – AFP, 9 Ogos, 2017.
Komen