PBB perlu RM209 juta bantuan segera untuk mangsa bencana Indonesia


Pemandangan dari udara bandar Balaroa yang terletak di Palu, Sulawesi Tengah yang musnah akibat gempa dan tsunami. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2018.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mengatakan ia memerlukan AS$50.5 juta (RM209 juta) “sebagai bantuan segera” bagi membantu mangsa gempa dan tsunami yang dahsyat di Indonesia.

Perancangan PBB, yang dibangunkan dengan rundingan bersama pegawai kerajaan Indonesia, menggariskan “bagaimana masyarakat kemanusiaan di negara itu akan menyediakan bantuan teknikal yang disasarkan.”

Lebih 1,500 orang mati dalam kejadian tsunami dan gempa minggu lalu, dan pihak berkuasa tempatan berkata pada Jumaat lebih 1,000 orang kemungkinan masih hilang.

Kota Palu di Sulawesi merupakan kawasan paling terjejas, yang musnah selepas dilanda gempa bumi kuat dan ombak tinggi.

Pelan PBB bertujuan memberi bantuan kepada 191,000 orang dalam tempoh tiga bulan akan datang, kata kenyataan itu.

Mengikut anggaran PBB, 65,000 rumah mengalami beberapa bentuk kerosakan, 10,000 buah rumah “musnah sepenuhnya oleh tsunami” dan 15,000 rumah rosak akibat gempa bumi.

“Seminggu selepas bencana, skala penuh bencana dan keperluan semakin jelas,” kata Anita Nirody, penyelaras residen PBB di Indonesia.

“Rakyat yang terjejas, terutama yang kehilangan rumah dan semua barangan mereka, memerlukan perlindungan, akses kepada air bersih, penjagaan kesihatan dan sokongan psikososial.”

Pembiayaan yang diminta “akan membolehkan komuniti kemanusiaan antarabangsa lebih efektif untuk menyokong tindak balas daripada kerajaan dan organisasi tempatan,” katanya. – AFP, 6 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen