Kemboja naikkan gaji minimum pekerja kilang pakaian


Industri pakaian Kemboja yang bernilai AS$7 bilion digerakkan lebih 740,000 pekerja kilang menuntut kenaikan gaji minimum mereka untuk berdepan kos sara hidup yang meningkat. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2018.

KEMBOJA menaikkan gaji minimum bulanan pekerja kilang kain sebanyak AS$12 daripada gaji semasa AS$129 susulan janji pilihan raya Perdana Menteri Hun Sen.

Industri pakaian negara itu yang bernilai AS$7 bilion digerakkan lebih 740,000 pekerja kilang, kubu kuat yang cuba dipecahkan Hun Sen sebelum pilihan raya Julai lalu yang dikecam hebat.

Pilihan raya itu dikecam masyarakat antarabangsa selepas parti pembangkang utama negara itu dibubarkan sebelum pemilihan menyebabkan parti pemerintah menang di semua 125 kerusi.

Bagaimanapun, wakil kesatuan sekerja mengecam kenaikan gaji itu mengatakan ia tidak mencukupi untuk berdepan masalah peningkatan kos sara hidup dan inflasi.

“Kami masih tak berpuas hati. Kami menuntut peningkatan sekurang-kurangnya AS$15 sebulan,” kata Kesatuan Sekerja Pekerja Kilang Pakaian Kemboja kepada AFP.

Tetapi Kaing Monika daripada GMAC-persatuan mewakili pemilik kilang- berkata peningkatan itu akan memberi kesan kepada daya saing Kemboja berbanding negara jiran Vietnam.

“Bil elektrik dan air kita sudah tinggi berbanding Vietnam,” katanya.

“Jadi tahun depan akan jadi ujian sama ada Kemboja akan mampu bersaing.”

Hun Sen yang berkuasa lebih 33 tahun dikecam Parlimen Eropah bulan lepas kerana pemerintahan autokratiknya menindas pembangkang dan penentang kerajaan.

Parlimen sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan larangan sementara kepada skim perdagangan yang membolehkan eksport bebas tarif barangan Kemboja ke negara Kesatuan Eropah.

Jika diluluskan, ia akan menjejaskan industri pakaian Kemboja yang kini mengeksport barangan bernilai AS$5.7 bilion ke EU. – AFP, 5 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen