PEMIMPIN pembangkang Pakistan Shahbaz Sharif ditahan kerana rasuah hari ini, kata pegawai, tuduhan korupsi terbaru terhadap dinasti politik keluarga Sharif yang disingkir daripada kuasa oleh bekas pemain kriket Imran Khan pada pilihan raya negara itu baru-baru ini.
Sharif, adik kepada bekas perdana menteri Nawaz Sharif ditahan atas dakwaan korupsi berkaitan skim rumah kos rendah di daerah Punjab, kata Ketua Agensi Pencegahan Rasuah Shahzad Saleem kepada AFP.
Saleem tidak menjelaskan bilakah Sharif yang merupakan bekas ketua menteri Punjab akan dihadapkan ke mahkamah.
Marriyum Aurangzeb, jurucakap Liga Nawaz Islam Pakistan (PML-N_ berkata penahanan itu adalah untuk mempengaruhi pilihan raya kecil akan datang pada 14 Oktober yang sangat mustahak untuk kerajaan campuran Khan.
“Ini tidak lebih daripada pemangsaan politik,” katanya kepada wartawan di Islamabad.
Mahkamah anti korupsi pada Julai menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Nawaz Sharif berkaitan hartanah dimiliki keluarganya di Britain, susulan pendedahan Kertas Panama.
Beliau dibebaskan bulan lepas selepas mahkamah menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan.
Nawaz- yang disingkirkan daripada kuasa tahun lepas oleh Mahkamah Agung susulan siasatan rasuah- ditahan sekembalinya ke Pakistan dari London pada Julai untuk kempen pilihan raya. Beliau dilarang bertanding.
Parti PML-N kalah pilihan raya 25 Julai kepada pesaingnya Pakistan Tehreek-e-Insaf yang diketuai wira kriket negara itu, Imran Khan, – AFP, 5 Oktober, 2018.
Komen