DENIS Mukwege, doktor dari Congo dan aktivis Iran Nadia Murad diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2018 kerana usaha mereka menentang keganasan seksual di kawasan konflik seluruh dunia.
Mereka berdua menang anugerah itu “kerana usaha mereka untuk menghentikan keganasan seksual sebagai senjata perang dan konflik bersenjata,” kata Pengerusi Jawatankuasa Nobel Berit Reiss-Andersen ketika mengumumkan Mukwege dan Nadia sebagai pemenang di Oslo.
Mukwege adalah seorang doktor, Nadia pula adalah bekas hamba seks kumpulan pengganas IS, kedua-duanya mewakili perjuangan dunia yang melepasi batasan konflik tertentu, seperti yang dibuktikan dalam pergerakan #MeToo.
Pengumuman itu dibuat sempena ulang tahun pertama pergerakan #MeToo yang sudah menyebabkan puluhan lelaki berkuasa yang melakukan serangan seksual tersingkir.
Pengiktirafan kedua-dua mereka oleh jawatankuasa Nobel meletakkan keganasan seksual perang sebagai tumpuan masalah dunia.
Mukwege, 63, sepanjang dua dekad lamanya membantu wanita pulih daripada trauma keganasan seksual dan rogol di negara berkonflik Congo.
Mukwege sudah merawat ratusan ribu mangsa wanita dewasa, kanak-kanak wanita dan bayi di Hospital Panzi yang diasaskannya pada 1999 di Selatan Kivu.
Dikenali sebagai “Doktor Ajaib”, Mukwege adalah pejuang yang lantang bersuara menentang penggunaan wanita sebagai senjata perang, menyifatkan rogol sebagai “senjata pemusnah massa”.
Jawatankuasa Nobel juga mengiktiraf Nadia, wanita Iraq berusia 25 tahun daripada komuniti Yazidi yang diculik militan IS pada 2014 dan selama tiga bulan menjadi hamba seks mereka sebelum berjaya melarikan diri.
Beliau adalah salah seorang daripada ribuan wanita dan gadis Yazidi yang diculik, dirogol dan dikejami pengganas IS ketika mereka menyerang kumpulan minoriti Kurdish itu, yang disifatkan PBB sebagai genosid. Sejak berjaya melepaskan diri, Nadia menjadi aktivis lantang memperjuangkan hak wanita yang jadi mangsa seksual zon perang.
Mukwege dan Nadia akan menerima anugerah Nobel Keamanan di Oslo pada 10 Disember, sempena ulang tahun kematian pengasas anugerah itu Alfred Nobel pada 1896. – AFP, 5 Oktober, 2018.
Komen